“Terima Kasih…,” – Rynn Lim Dedikasi Lagu Wira Hatiku, Khas Buat Barisan Hadapan Kekang COVID-19

Share

Sebagai penghormatan buat para petugas yang mengorbankan masa dalam usaha mengekang penularan wabak COVID-19, Rynn Lim tampil dengan sebuah lagu berjudul Wira Hatiku.

Bintang kelahiran Kuching, Sarawak ini mengambil ruang dengan merakamkan rasa terima kasihnya itu mererusi nukilan dalam lagu.

“Bukan senang mereka menjalankan tugas. Usaha dan jasa mereka memberi saya ilham untuk menulis lirik lagu dan merakamnya.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka, ink mesej saya yang ingin dikongsikan buat semua” katanya.

Sementara itu, sejak video tersebut dimuat naik ke Facebook, ia turut mendapat perhatian ramai.

Rynn memulakan kerjaya seninya pada tahun 2002 dan mula dikenali apabila lagu-lagu hits ciptaannya dinyanyikan oleh penyanyi Hong Kong, Singapura, Taiwan dan China seperti JJ Lin, Coco Lee, Gigi Leung Wing Kei, Andy Hui, Jordan Chan dan ramai lagi.

Bakatnya dalam mencipta lagu-lagu popular membolehkan penyanyi ini untuk menempa nama sebagai seorang komposer dan pencipta lagu.

Malah, Rynn juga memperluaskan bakatnya melalui album sulung yang berjudul ‘1st’, yang secara tidak langsung membuka peluang keemasan kepadanya untuk melebarkan sayap hingga berjaya memenangi anugerah bagi kategori Artis Baru Terbaik (Lelaki) di The 17th Taiwan Golden Melody Awards.

Kejayaan yang diraihnya itu sekaligus menjadikan Rynn sebagai rakyat Malaysia pertama meraih gelaran itu.

Rynn sebelum ini pernah bergabung tenaga dengan Sheila Majid menghasilkan satu lagu duet berjudul Melodi.

Sepanjang kariernya, dia sudah pun berjaya memenangi banyak anugerah, antara anugerah termasuk penghibur terbaik, persembahan vokal lelaki terbaik, rakaman album terbaik, artis baru terbaik, lagu paling popular dan banyak lagi.

IKLAN