Berita

“Tengok Sampai Episod Akhir, Nilailah,” – Uqasha Senrose Kecewa Kecaman Melampau, Persoal Agama Hingga Kaitkan Anak

Share

Pelakon Uqasha Senrose berharap orang ramai tidak terlalu cepat menghukum jalan cerita yang dipaparkan menerusi drama terbaharu lakonannya, Madu Atau Racun yang kini hangat diperkatakan.

Menurut Uqasha, kebanyakan kritikan yang timbul terhadap drama tersebut dilihat hanya berdasarkan potongan klip yang tular di media sosial, tanpa memahami konteks sebenar serta keseluruhan jalan ceritanya.

Jelasnya, drama berkenaan sebenarnya sarat dengan pengajaran dan iktibar yang boleh dijadikan pedoman oleh penonton.

“Apa yang kalian tengok? Bukan keseluruhan cerita dan setiap episod kan? Hanya tengok klip-klip yang sudah disunting?

“Setiap jalan cerita pasti ada ujian, pengajaran, ikhtibar dan keinsafan.

“Cuba tengok sampai episod terakhir dan nilailah selepas itu. Jangan terus menghukum macam tiada hari esok,” tulisnya.

Perkara itu dikongsikan ibu kepada seorang cahaya mata itu menerusi hantaran di Instagram Stories.

Terkilan Isu Peribadi dan Anak Turut Dipetik

Dalam pada itu, Uqasha mengakui terkilan apabila segelintir pihak melontarkan kritikan melampau terhadap barisan pelakon sehingga menyentuh hal peribadi, termasuk keluarga dan anak.

“Sampai isu peribadi pun kalian sentuh. Sampai mempersoalkan ‘Islam ke?’ Masing-masing ada anak perempuan sampai sentuh anak. Maaf itu sudah melampau.

“Baru episod berapa terus kena kecam sampai ke anak-anak. Ya Rabbi, yang menghukum semua ini rasanya bukan tengok cerita tapi tengok yang lalu-lalu dekat ‘fyp’ sahaja.

“Tengok cerita guys dan isi kandung cerita guys. Agak melampau la korang yang bercakap sedap mulut ni,” kongsinya lagi.

FINAS Arah Penstriman Dihentikan Sementara

Terdahulu, susulan beberapa babak yang didakwa keterlaluan, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) meminta platform penstriman iQIYI menurunkan keseluruhan tayangan drama bersiri Madu Atau Racun.

Tindakan tersebut dibuat bagi membolehkan pihak produksi melakukan suntingan semula terhadap kesemua 12 episod drama itu sebelum ia dinilai oleh panel khas.

Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Published by
Aizam Manaf