
Tarik Picu hadir pada waktu industri teater tempatan masih berusaha mengukuhkan kedudukannya dalam kalangan penonton arus perdana.
Kehadiran naskhah ini sekali gus dilihat mampu memberikan suntikan baharu kepada landskap seni persembahan tanah air.
Naskhah ini mengangkat tema kelangsungan hidup, rasa bersalah, pengkhianatan serta pilihan-pilihan sukar yang terpaksa dihadapi manusia.
Di bawah arahan Fazleena Hishamuddin dengan skrip tulisan Amar Amir, pementasan ini berjaya mengangkat konflik kemanusiaan secara dekat tanpa bergantung kepada gimik yang berlebihan.
Kekuatan utama Tarik Picu bukan hanya terletak pada jalan ceritanya, tetapi juga keserasian barisan pelakon yang saling melengkapi sehingga menjadikan keseluruhan pementasan terasa hidup.
Jay Iswazir muncul sebagai antara pelakon paling menyerlah sepanjang persembahan. Penguasaan emosinya cukup meyakinkan dan setiap kemunculannya memberikan impak tersendiri kepada perkembangan cerita.
Walaupun ada ketika penyampaian dialognya kedengaran sedikit berlebihan, ia berjaya diimbangi menerusi ekspresi wajah, bahasa tubuh serta kawalan emosi yang cukup baik, sekali gus memastikan perhatian penonton terus tertumpu kepadanya.
Dalam masa sama, Amalina Arham berjaya mencuri perhatian menerusi penggunaan loghat Utara yang menjadi pelengkap kepada keseluruhan naskhah.
Kehadirannya memberikan keseimbangan dalam cerita yang sarat dengan ketegangan. Lakonannya yang bersahaja namun penuh penghayatan membolehkan penonton merasai konflik yang sedang dipikul oleh wataknya.
Bagi Arfie Shah pula, penampilan sulungnya di pentas teater wajar diberikan pujian.
Walaupun masih terdapat beberapa aspek teknikal yang boleh diperhalusi, keberaniannya membuktikan dia memiliki potensi besar untuk terus berkembang dalam dunia teater.
Ia merupakan permulaan yang cukup baik buat dirinya.
Idan Aedan pula meneruskan konsistensinya sebagai pelakon yang bijak mengawal rentak persembahan. Lakonannya kekal kemas dengan intensiti yang tepat tanpa perlu mencuri perhatian secara berlebihan.
Antara kejutan paling menyenangkan sepanjang pementasan ialah kemunculan Khenobu.
Walaupun namanya belum segah pelakon lain, persembahannya membuktikan dia memiliki kualiti lakonan yang tidak boleh dipandang ringan.
Industri seni tanah air sewajarnya membuka lebih banyak ruang kepada bakat sepertinya kerana potensinya jelas terserlah di atas pentas.
Baca Artikel Lain;
Lebih daripada sekadar sebuah pementasan,
Tarik Picu membuktikan masih ada pihak yang benar-benar percaya terhadap masa depan teater tempatan menerusi naskhah yang ditulis dan diarahkan dengan baik.Pujian juga wajar diberikan kepada Shawn Amer bersama Mask Team yang dilihat konsisten menghidupkan pentas teater sebagai sebuah produk hiburan komersial.
Setiap tahun mereka terus tampil dengan pementasan baharu, sekali gus membuktikan teater masih mempunyai ruang untuk berkembang sekiranya dipersembahkan menerusi strategi yang tepat.
Rekod produksi yang diterbitkan Mask Team turut memperlihatkan komitmen berterusan mereka dalam membangunkan ekosistem seni persembahan tempatan.
Teater tidak seharusnya dilihat sebagai hiburan untuk kelompok tertentu sahaja, sebaliknya perlu terus diketengahkan ke ruang yang lebih komersial agar mampu menarik generasi penonton baharu tanpa mengorbankan nilai seni yang menjadi asasnya.
Secara keseluruhan, Tarik Picu bukan sebuah pementasan yang bergantung kepada kesan visual atau kejutan semata-mata untuk memikat penonton.
Sebaliknya, kekuatannya terletak pada lakonan mantap, pengarahan yang tersusun serta penceritaan yang berjaya membuatkan penonton terus memikirkan tentang pilihan dan akibat yang ditinggalkan, walaupun selepas tirai ditutup.
Tarik Picu kini sedang dipentaskan di Nero Event Space, Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC) sehingga 19 Julai 2026.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.