Kreatif serta lantang mempromosikan jenama miliknya dan syarikat lain, tindakan usahawan dan pempengaruh, Dak Ayam Kahau atau nama sebenarnya, Iswan Ishak memuat naik sebuah video di TikTok baru-baru ini menjadi sorotan.
Apatah lagi isu semasa berkenaan ibaratnya bersaling kait dengan tindakan sesetengah pihak yang memilih untuk memboikot syarikat atau produk yang menyumbang kepada ekonomi Israel.
Menerusi video yang dimuat naik pada Jumaat itu ketika mempromosikan jenama pewangi Szindore, Dak Ayam Kahau turut memberikan reaksi sinis.
Sekarang di mana-mana, aku nampak ada yang cakap pencipta kandungan di Malaysia semua ‘bodoh’ sebab tak buat isu boikot… boleh?
“Jadi, kenapa kalian saja yang tak boikot, boikot je lah. Tak payah jadi pencipta kandungan untuk berkongsi perihal memboikot. Sedangkan semua boleh (buat) boikot,” katanya.
Dak Ayam Kahau antara lain menerusi video sama turut menegaskan dia sendiri berniaga dan jual produk peniaga lain.
Ads
“Jadi nak boikot, boleh boikot daripada sekarang. Tapi bukan boikot main-main. Jenis yang hari ini korang boikot, esok kalau ada mereka buat promosi dengan harga RM1 percuma satu… kamu semua berebut. Sama saja,” katanya lagi.
Tambah Dak Ayam Kahau lagi, kenapa perlu risau memboikot barangan tertentu kerana produk tempatan sendiri sangat bermutu sebagai ganti.
“Kalau korang rasa produk diaorang yang korang boikot itu ubat gigi, kita pun ada produk sama kelahiran anak tempatan. Tak ada masalah pun. Minyak wangi? Aku jual jer minyak wangi aku…still ada yang beli, orang Malaysia support aku alhamdulillah.
“Jadi kenapa nak sokong produk luar negara. Apa yang produk luar negara mampu buat, kita pun boleh tandingi. Malah ada produk kita jauh lebih murah, ada yang bertaraf antarabangsa,” katanya.
Dak Ayam Kahau menambah, dia bersyukur susulan produk yang diusahakan mendapat sambutan dan sokongan pembeli.
“See… kau (boleh) boikot tapi kau kena naikkan local brand. Itu paling penting. Sampai selipar pun aku tak beli dah yang barang-barang ‘Isra’ punya. Tak payah, aku pakai local brand.
“Local brand kita sekarang sama level (dengan antarabangsa). Tapi kalau kau boikot, tapi tak support local brand… ‘sampah’,” katanya.
Untuk rekod, jenama Szindore antara produk anak tempatan yang tular kerana sentiasa mengikut ‘trend’ dan kehendak pasaran.
Ads
Tak ketinggalan jenama ini membuka peluang dan membantu mereka yang ingin menjana pendapatan untuk menceburi perniagaan.
Malah, jenama ini bercadang menyediakan vending machine di beberapa lokasi terpilih bagi memudahkan pelanggan mendapat produk dengan segera pada masa depan.
Sehingga kini, video berkenaan sudah pun menerima lebih 50,000 tontonan beserta reaksi pelbagai yang ditinggalkan pengguna TikTok pada ruangan komen.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Balu kepada bekas anggota kumpulan nasyid In-Team, Suhaimi Saad iaitu Ina Naim memaklumkan Allahyarham suaminya itu meninggal dunia di sisi keluarga.
Ina atau nama sebenarnya Nordiana Mohd Naim menambah, arwah sudah mula alami batuk teruk sejak Ogos lalu.
Malah status kesihatan suaminya semakin merosot pada Oktober selepas mengalami cirit-birit sehingga susut berat badan sebanyak 20 kilogram.
“Arwah suami pergi dalam keadaan yang tenang dan mudah, di sisi saya serta semua anak-anak kami.
“Arwah tidak muntah hanya batuk teruk sejak bulan Ogos dan alami cirit birit. Arwah dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) sejak 10 November lalu.
“Sejak di Hospital Kota Tinggi lagi, arwah minta ditidurkan sebagai ikhtiar terakhirnya.
“Ketika hidup, arwah suami ada cakap hendak hidup sehingga usia 43 tahun, dan 12 Oktober lalu genap usianya 43 tahun,” katanya, lapor Harian Metro.
Ina berkata demikian ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik HSI Johor Bahru, malam tadi.
Suhaimi Saad, 43, disahkan meninggal dunia pada 7.40 malam tadi di Unit Rawatan Rapi (ICU), HSI akibat jangkitan kuman di paru-paru.
Menurut Ina, arwah hanya meninggalkan pesan meminta maaf kepada semua orang seperti yang dimuat naik di laman sosial TikTok miliknya sebelum ditidurkan.
Katanya, sebagai isteri arwah, pihaknya juga memanjatkan permohonan maaf bagi mewakili arwah suaminya.
“Saya mohon maaf jika suami saya tersilap kata atau ada menyinggung perasaan mana-mana pihak atau termakan, terminum atau terambil apa-apa, saya memohon maaf bagi pihak dia,” katanya.
Allahyarham Suhaimi berkahwin dengan Ina pada 12 Ogos 2007 dan dikurniakan empat cahaya mata iaitu Ehmad Hadie Elfardie, 15, Salman Elkhoyri, 13, Phyrosh Elfadwah, 11, dan Nur Layla Elghufrony, 9.
Terdahulu, jenazah Allahyarham Suhaimi dimandi dan dikafankan di Jabatan Perubatan Forensik HSI sebelum dibawa pulang ke rumah keluarga Ina di Felcra Sungai Ara, Kota Tinggi.
Jenazah dijangka akan dikebumikan di sana kira-kira 9 pagi ini.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Hampir dua minggu bergelar suami kepada penyanyi dan pelakon, Nabila Razali iaitu Nik Iruwan Nik Izani, dia menyifatkan kehadiran isterinya itu sebagai hadiah yang paling bernilai.
Menurut Nik Iruwan, meski baru berkenalan tahun ini, namun dia mengharapkan yang terbaik daripada isteri yang cukup sempurna pada matanya.
“Dia sempurna di mata saya. Malah, dia juga wanita yang baik dan fantastik. Saya cuba mencari di mana kelemahannya tapi belum jumpa lagi.
“Saya akui keputusan untuk bernikah dengannya adalah satu perkara yang besar dalam hidup saya, termasuk untuk Nabila sendiri. Saya tidak berbelah bahagi untuk berkahwin dengannya.
“Bagi saya, Nabila juga wanita yang sangat teratur dan bersemangat dalam apa saja yang dia ingin lakukan.
“Sepanjang tinggal bersamanya dalam tempoh seminggu ini, kehadirannya adalah detik yang paling membahagiakan dalam hidup saya,” katanya bersama Nabila di sisi.
Pasangan raja sehari itu ditemui selepas majlis persandingan mererka yang berlangsung di sebuah hotel di Damansara, Selangor, pada Ahad.
Sementara itu, Nabila memilih untuk tidak berkongsi tempoh mereka menjalin hubungan cinta sebelum mengambil keputusan untuk bernikah pada 18 November lalu.
“Pada pandangan saya, masa itu tidak penting tapi momen yang kami luangkan bersama ketika dalam tempoh terbabit cukup bermakna.
“Sepanjang kami berkenalan tidaklah berlangsung dengan sempurna, sudah tentu kami ada kekurangan dan kelebihan masing-masing, tapi perkara itulah yang melengkapi perhubungan kami berdua.
“Sepanjang perkenalan pun, suami saya saling melengkapi segala kekurangan yang ada pada diri saya. Selebihnya hanya Tuhan dan saya saja yang tahu.
“Saya harap perkahwinan ini kekal hingga ke jannah serta memohon doa daripada semua orang untuk perhubungan yang baru dibina ini,” katanya.
Terdahulu pada majlis persandingan yang bertemakan Batik Jawa itu, kira-kira 250 tetamu hadir meraikan pasangan mempelai dan Nabila turut diarak dengan menaiki tandu menuju ke pelaminan.
Selain ahli keluarga, media dan rakan selebriti, tetamu turut dihiburkan dengan persembahan daripada Hael Husaini, Amira Othman, Neeta Manis, Aisha Retno dan Lah Ahmad.
Nabila dan Nik Iruwan sah bergelar suami isteri pada 18 November lalu dalam majlis pernikahan di sebuah resort di Bukit Tinggi, Pahang.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Pelakon dan penyanyi, Wanna Ali kembali memeriahkan persada seni muzik tanah air apabila melancarkan single terbaharu, Bukan Sekadar Lafaz, duet bersama Aiman Ismail.
Bercerita lanjut tentang lagu ciptaan penuh ibunya, penerbit dan pemilik produksi Pencil Pictures & Records iaitu Datuk Ayu Puteh itu, Wanna menjelaskan, lagu tersebut merupakan runut bunyi bagi drama lakonannya di slot Akasia TV3 yang menggunakan judul sama.
Mengulas kolaborasi julung kalinya bersama Aiman yang juga bapa tirinya, Wanna menyifatkan kerjasama antara mereka sepanjang proses rakaman dilaksanakan secara profesional.
Malah, keduanya juga tidak mahu ambil pusing jika timbul persepsi negatif daripada pihak luar.
“Lirik lagu ini berkisar tentang hidup ibu saya dan suaminya, Aiman. Disebabkan itu, dia mahu ahli keluarga terdekat yang menyanyikannya sebab dirinya bukan seorang penyanyi.
“Dalam keluarga, saya dan Aiman memang sudah lama menyanyi. Maka sebab itulah kami bersetuju untuk bekerjasama merakam lagu ini. Lagipun, ini permintaan ibu sendiri,” katanya.
Sementara itu, Aiman ketika diminta mengulas berpendapat, kolaborasinya bersama Wanna tidak perlu dijadikan isu besar sementelah mereka tahu menjaga batas masing-masing.
Katanya, memahami rasa dan inti lagu itu sahaja sudah cukup profesional, tambahan pula karya tersebut adalah sesuatu yang istimewa hasil nukilan isteri dicintai.
“Sudah lapan tahun saya hayati lirik ini sejak berkahwin dengan Ayu. Bahkan, Wanna pun tahu betapa bermaknanya lagu Ini buat saya,” kata Aiman yang sebelum ini pernah muncul dengan debut bertajuk Cintamu Palsu pada 2015.
Justeru, Wanna dan Aiman berharap, penyatuan kedua-dua mereka di dalam sebuah lagu dapat diterima secara positif serta tidak perlu mengaitkannya dengan sesuatu perkara negatif.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Pelakon Shaheizy Sam mengakui terkejut apabila menerima khabar mengenai keadaan kesihatan abang iparnya, yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin, dilaporkan semakin kritikal sebelum arwah menghembuskan nafas terakhir awal pagi tadi.