Categories: Berita

‘Tapau’ Penyanyi Profesional, Sharif & Syaiful Sumbang Hadiah Duo Terbaik Buat Mangsa Perang Palestin

Share

Memegang status sebagai pelawak ternyata bukan penghalang buat Sharif dan Syaiful untuk meraih markah teringgi sekali gus dinobatkan selaku Duo Terbaik di konsert minggu pertama Famili Duo musim ke-3 yang berlangsung pada Ahad.

Pencapaian tersebut membolehkan duo tersebut membawa pulang hadiah mingguan berupa wang tunai berjumlah RM10,000.

Menurut Sharif, sebahagian daripada wang kemenangan tersebut akan disumbangkan kepada mangsa perang di Palestin.

Ia juga dilihat sebagai amaran buat pasangan-pasangan duo lain yang rata-ratanya terdiri daripada penyanyi-penyanyi profesional untuk tidak berasa terlalu selesa.

Duo adik beradik asal Sabah itu berjaya mendahului carta dengan markah sebanyak 55.4 peratus dan diikuti rapat satu lagi duo adik beradik, Shila Amzah dan Syahir Amzah dengan markah 49.1 walaupun berdepan masalah teknikal.

Pasangan pempengaruh terkenal, Ryan Bakery dan Adam Bakery boleh berbangga dengan pencapaian mereka pada minggu ini selepas berjaya menduduki tangga ke-3 dengan markah 42.2 peratus.

Duo suami isteri Tom dan Fuad Rahman pula berada di tangga ke-4 dengan markah 41.3 peratus manakala pasangan duo sepupu, Haqiem Rusli dan Ariff Bahran ditempat ke-5 dengan markah 37.8 peratus.

Sementara itu, pasangan adik beradik, Adira Suhaimy dan Emma Suhaimy pula terpaksa berpuas hati di kedudukan terakhir dengan markah sebanyak 36.2 peratus.

Masih mengekalkan format yang sama, para peserta Famili Duo tidak akan berdepan dengan penyingkiran sehingga minggu separuh akhir.

Dalam pada itu, Syarif dan Syaiful selaku Duo Terbaik telah memilih tugasan bertemakan Cinta untuk konsert minggu ke-2.

Terdahulu, Famili Duo 3 diacarakan gandingan pengacara Izzue Islam dan Janna Nick, manakala kerusi juri pula menyaksikan gandingan juri Ajai dan Mas Idayu.

Program Famili Duo 3 ditayangkan secara langsung di TV3 pada setiap Ahad, jam 9 malam.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Kredit Foto: Instagram TV3

IKLAN