Penyanyi dan pelakon, Siti Nordiana yang dikatakan semakin rapat dengan pasangan hosnya menerusi program realiti, Gema Gegar Vaganza, Fikry Ibrahim mengakui dia tidak tahu untuk memberi jawapan apabila setiap kali diajukan pertanyaan mengenai sejauh mana hubungannya dengan bintang tersebut.
Katanya kepada MH, sudah acap kali dia memberitahu ramai bahawa setakat ini, tiada apa-apa yang istimewa mengenai hubungan mereka berdua kerana hubungan rapat yang terjalin tidak lebih daripada hanya rakan sesama industri sahaja.
“Banyak kali ditanya mengenai isu sama. Saya tak tahu nak jawab apa. ‘Salah bual’ nanti ada yang kata saya ‘gedik’. Bimbang andai apa yang saya katakan juga disalah tafsirkan.
“Jadi, langkah terbaik, janganlah tanya saya pasal dia sebab saya memang tak tahu nak jawab apa. Jodoh adalah urusanNya dan cinta tak boleh dipaksa-paksa,”katanya jujur.
Turut menafikan dia agak berselindung untuk berbicara soal cinta kerana mahu menjaga hati seseorang, Siti Nordiana atau lebih mesra disapa Nana ini sebaliknya memberitahu, dia hanya mahu fokus dalam kerjaya.
“Pada fasa sekarang, rasanya banyak lagi yang perlu saya capai. Perlu kerja keras demi keluarga jadi hal cinta-cinta ni saya tak ambil hal sangat,” kata ibu tunggal beranak satu ini lagi.
Terdahulu, Siti Nordiana dan Fikry dikatakan rapat selepas mereka digandingkan dalam telefilem berjudul Cekelat Semanis Honey yang ditayangkan tahun lalu.
Malah Fikry turut membuat penampilan khas di dalam muzik video untuk lagu terbaru Nana, Hatiku Milikmu.
Foto: Instagram Siti Nordiana
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI