Hiburan

“Tak Selamanya Indah, Ada Pasang Surut,”- Harmoni Jaga Anak Dengan Bekas Isteri, Sharnaaz Akui Tak Mudah

Share

Sejak akhir-akhir ini, isu mengenai hak penjagaan anak-anak buat pasangan suami isteri yang sudah bercerai menjadi antara topik hangat yang diperkatakan di media sosial.

Ada diantara ibu bapa yang terpaksa membawa perkara ini ke mahkamah sepelas kata sepakat gagal dicapai.

Hal ini kebiasaannya akan berlarutan sehingga ada yang sanggup membuka pekung bekas pasangan.

Situasi ini juga secara tidak langsung akan memberikan kesan buruk terhadap mental anak-anak.

Terbaharu, seorang individu tampil memuji pelakon, Sharnaaz Ahmad dan bekas isterinya, Noor Nabila selepas mereka dilihat tampak bahagia membesarkan anak mereka, Jebat Jayden meskipun selepas bercerai.

Menurut individu tersebut, sikap tanggungjawab yang ditunjukkan oleh Sharnaaz dan Nabila sememangnya wajar dicontohi.

“Tiada siapa yang boleh tandingi Sharnaaz dan Nabila dalam hal sebagai ibu bapa bersama,” tulisnya di aplikasi X.

Hantaran tersebut kemudiannya mendapat respon balas daripada Sharnaaz sendiri.

Menurut pelakon filem Polis Evo 3 itu, setiap ibu bapa mempunyai cabarannya yang tersendiri lebih-lebih lagi buat mereka yang sudah bercerai.

Lantaran ini, Sharnaaz memohon doa orang ramai agar hubungan baik bersama bekas isteri akan berkekalan selama-lamanya.

“Tak selamanya indah. Mesti ada pasang surut. Doakan ia berterusan. Mudah di mata orang luar tapi hakikatnya bukan mudah,” tulisnya.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen memuji kematangan Sharnaaz selain turut mendoakan agar segala urusan melibat anaknya akan sentiasa dipermudahkan.

“Abang dah set contoh yang baik buat pasangan bercerai yang mempunyai anak di luar sana. Susah, tapi terus jalankan amanah sebagai ibu bapa dengan baik.

“Respek dengan abang.

“Orang selalu nampak yang indah. Dekat sosial media ini, kita tunjuk yang indah-indah sahaja tapi hakikatnya selalu hanya tuan badan yang tahu. Apa-apa pun, moga Sharnaaz dan Nabila terus kuat demi Allah and semboii tu,” antara komen-komen netizen.

Sekadar informasi, Sharnaaz dan Nabila telah mendirikan rumah tangga pada tanggal 31 Mac 2017.

Hasil perkongsian hidup tersebut, pasangan ini dikurniakan seorang cahaya mata lelaki yang diberi nama, Jebat Jayden.

Bagaimanapun, pasangan ini memutuskan untuk bercerai pada 9 Julai 2020.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Sumber & Kredit Foto: X & Instagram Sharnaaz Ahmad, Jebat Jayden

IKLAN