Berita

“Tak Sangka Viral Sampai Thailand…” – Isu Pergaduhan Suami, Isteri & Madu Di Bukit Bintang Hanya Gimik, Mayumi Kasuga Perjelas Situasi Sebenar

Share

Susulan tularnya video pergaduhan yang didakwa membabitkan pasangan suami isteri bersama isteri kedua di Bukit Bintang, Kuala Lumpur baru-baru ini, pempengaruh dan Ketua Pegawai Eksekutif Mayard Integrated, Mayumi Kasuga, tampil menjelaskan situasi sebenar di sebalik insiden tersebut.

Menurut Mayumi, ia merupakan satu eksperimen sosial yang dirancang bagi melihat reaksi masyarakat terhadap isu poligami, selain membawa mesej kesedaran kepada orang ramai.

“Daripada awal, niat kami hanyalah untuk buat ‘social experiment’ dan pada masa sama, kita nak mendidik masyarakat.

“Saya ingatkan isu itu hanya akan viral di Malaysia sahaja, namun saya tak sangka ia turut mendapat perhatian netizen di Thailand dan Indonesia.

“Ramai juga yang bertanya kepada saya, apa sebenarnya yang berlaku. Kami hanya mahu melihat reaksi masyarakat. Daripada video tersebut, saya mendapat banyak maklum balas.

“Bila ramai yang berikan komen tidak elok, saya tak sangka memang ada golongan yang suka ambil tahu hal orang lain. Rasa lucu pun ada juga. Tak sangka mereka sampai ke tahap ini,” katanya kepada MH.

Mayumi berkata demikian ketika ditemui pada sesi sidang media yang berlangsung di pejabat Trendztok Studios, Kuala Lumpur pada Rabu.

Tambahnya lagi, gimik tersebut diadakan bagi memperkenalkan program podcast terbaharu, Bad Gal Channel, yang dijadualkan mula bersiaran pada September ini.

Terinspirasi Daripada Isu Rumah Tangga Yang Tular

Dalam pada itu Mayumi berkata, idea untuk menjalankan eksperimen sosial itu tercetus selepas melihat terlalu banyak isu rumah tangga yang menjadi perhatian di media sosial sejak kebelakangan ini.

Malah, sebagai individu yang pernah bergelar isteri kedua, dia menyeru orang ramai agar sentiasa menerima ketentuan jodoh dengan hati terbuka dan tidak menjadikan poligami sebagai punca perbalahan.

“Saya pernah ada pengalaman menjadi isteri kedua satu ketika dahulu. Kini, saya sudah bercerai. Bila banyak sangat isu tentang rumah tangga di media sosial, saya jadi pelik.

“Dari situlah datangnya idea ‘social experiment’ itu bila saya berbincang bersama rakan podcast. Ketika saya bergelar isteri kedua, tiada pula kami nak bergaduh.

“Alhamdulillah kehidupan kami harmoni. Kami boleh pergi bercuti bersama-sama dan saya juga boleh merancang majlis ulang tahun perkahwinan suami bersama isteri pertama.

“Anak-anak pun masih rapat. Tak kisahlah isteri pertama atau kedua, kita kena tahu kedudukan kita. Tak perlu bergaduh. Percayalah perancangan Allah. Terima jodoh kita,” ujarnya lagi.

Malah, Bad Gal Channel juga bakal membincangkan pelbagai isu berkaitan rumah tangga dan isu semasa daripada perspektif lelaki serta wanita secara seimbang.

“Isu-isu seperti ini akan kita bawakan di dalam program podcast itu nanti. Kita akan mengangkat tentang hak wanita, lelaki, suami, isteri dan kekeluargaan.

“Kita akan rangkumkan semua dan tidak menangkan satu pihak sahaja. Program podcast ini akan bermula pada September ini.

“Ketika ini, kami sudah pun selesai merakamkan beberapa episod. Nantikanlah program podcast ini tidak lama lagi,” kongsinya lagi.

Kecaman Jadi Pendedahan Buat Barisan Pelakon

Mengulas mengenai barisan pelakon yang menerima kecaman susulan video tular itu, Mayumi percaya situasi tersebut membuktikan eksperimen sosial yang dijalankan berjaya mencapai matlamat untuk membuka mata masyarakat.

Katanya, sejak awal lagi semua pelakon sudah dimaklumkan bahawa mereka akan terlibat dalam sebuah eksperimen sosial dan perlu bersedia menerima pelbagai reaksi daripada orang ramai.

“Sebelum perkara ini terjadi, saya sudah pun menerangkan kepada mereka, apa yang kita buat ini adalah social experiment. Kita nak lihat reaksi masyarakat.

“Jika nama mereka tercalar, jangan risau. Niat kita nak didik masyarakat. Kami bukan menjatuhkan atau aniaya orang lain.

“Pada saya, good or bad marketing, ia adalah sama. Ini adalah situasi menang-menang. Barisan pelakon mendapat pendedahan yang sangat besar,” akhirinya.

Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Published by
Aizam Manaf