Berita

Tak Kejar Target Hidup, Anna Jobling Hanya Mahu Kekal Sihat & Murah Rezeki Pada Usia 26 Tahun – “Jika Terlalu Fikir Masa Depan, Saya Mudah ‘Overthinking’.

Share

Pelakon Anna Jobling mengakui dia tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-26 yang disambut pada 14 Ogos lalu.

Sebaliknya, dia hanya berharap agar sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik untuk meneruskan kerjaya seni demi kelangsungan rezeki.

Menurut Anna, kesihatan menjadi perkara paling utama yang perlu dijaga, memandangkan jadual kerjanya yang padat dengan penggambaran serta pelbagai komitmen lain.

“Pada usia ini, saya hanya berharap untuk kekal sihat kerana saya agak sibuk dengan penggambaran dan urusan kerja di sana sini.

“Bagi saya, kesihatan itu sangat penting kerana jika saya sakit, saya memang benar-benar sakit.

“Saya hanya mahu sihat selalu, dimurahkan rezeki dan sentiasa dilindungi. Itu sahaja, insya-Allah,” katanya kepada MH.

Pelakon filem Laut Tengah itu berkata demikian ketika ditemui pada acara eksklusif Meet And Greet & Finale Tayangan Perdana Drama Yes! Captain Zul Aaryan di Marriot Hotel, Petaling Jaya, pada Jumaat.

Lebih Selesa Jalani Hidup Tanpa Letak Sasaran

Mengulas mengenai matlamat hidup, Anna menjelaskan dia bukan individu yang gemar menetapkan sasaran atau pencapaian tertentu.

Cuma, dia lebih selesa menjalani kehidupan sehari demi sehari tanpa terlalu memikirkan masa depan.

“Saya tidak pernah meletakkan sebarang sasaran atau pencapaian tertentu.

“Saya lebih suka ‘take it day by day’ kerana jika terlalu memikirkan masa depan, saya akan mudah ‘overthinking’.

“Pada saya, setiap pencapaian itu adalah rezeki. Saya terima semuanya dengan penuh kesyukuran,” ujarnya lagi.

Teruja Bakal Jalani Penggambaran Di Indonesia

Dalam perkembangan lain, Anna mengesahkan dia bakal menjalani penggambaran bagi sebuah naskhah terbaharu di Indonesia.

Menurutnya, dia kini sedang melalui proses pembacaan skrip dan membuat persiapan sebelum memulakan penggambaran, selain tidak sabar untuk kembali ke set.

“Untuk projek seterusnya, saya akan berlakon di Indonesia dan kini sedang menjalani proses pembacaan skrip serta persiapan lain.

“Saya akan terlibat bersama beberapa selebriti dengan ‘big names’, tetapi buat masa ini saya tidak boleh berkongsi lanjut. Nantikan.

“Saya tidak sabar untuk kembali ke set penggambaran,” katanya.

Dalam masa sama, Anna turut memaklumkan dia berharap dapat merealisasikan sekurang-kurangnya satu projek lakonan di Indonesia pada setiap tahun, selain terus aktif berkarya di Malaysia.

“Jika ada peluang untuk berlakon di Indonesia, saya memang akan ambil tawaran itu.

“Begitu juga di Malaysia, jadi saya ada projek di Indonesia dan Malaysia. Kita lihat mana yang sesuai dengan jadual saya,” akhirinya.

Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Published by
Nurdini Rosliza