‘Tak ada yang cuba berani dekat dengan suami saya’ – Ozlynn

Saling percaya merupakan prinsip utama buat pasangan selebriti popular, Johan dan Ozlynn Wati memupuk keluarga bahagia.

Lantaran itu, baik Johan mahupun Ozlynn mengakui tiada sebab untuk mereka meragui tahap kesetiaan masing-masing.

Kata Johan, mencari pendapatan adalah objektif utama selari dengan tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga.

IKLAN

Bahkan, penyampai radio Era ini juga mengakui lebih selesa untuk berada di rumah di samping anak-anak dan isterinya.

“Saya memang duduk di rumah saja. Habiskan masa dengan anak-anak di rumah atau bermain game.

 

“Kalau keluar pun, saya akan bermain futsal dan itu pun Ozlynn akan tau saya ada di mana.

 

“Sebab itu, biasanya saya memang tak akan bawa telefon ke mana-mana,” katanya pada Media Hiburan.

Walaupun ada ‘kelonggaran’, Johan bagaimanapun tidak pernah berniat untuk mengambil kesempatan lain.

“Kalau saya keluar, saya selalu pesan pada diri, separuh maruah isteri dan juga anak-anak, saya bawa bersama dengan maruah diri.

 

“Apa saja rezeki yang saya cari, semuanya untuk beri mereka kehidupan yang lebih baik,” katanya.

Pada masa sama, Ozlynn berharap agar rumah tangga yang dibina tidak diganggu oleh anasir luar sekali gus boleh membuatkan hubungan tersebut berantakan.

IKLAN

“Secara jujurnya tak ada pun yang berani cuba dekat dengan suami saya. Cubalah kalau berani berdepan dengan saya,” tegasnya.

Malah, Ozlynn mengakui Johan merupakan seorang lelaki yang sangat mementingkan keluarga (family man).

“Dia memang jarang keluar rumah. Dia lebih suka habiskan masa di rumah bermain video game selain edit video kenangan keluarga kami yang dirakam untuk tatapan pada masa akan datang.

 

“Kalau dia keluar pun, dia hanya bermain futsal bersama kawan-kawan di padang yang dah biasa pergi.

 

“Dia memang tak bawa telefon, kalau ada hal penting, saya akan ke sana untuk jumpa dia, kalau tak bila dah sampai rumah nanti dia akan mesej,” katanya.

Dalam perkembangan lain, pasangan suami isteri ini tampil sebagai penerbit menerusi syarikat produksi, JWH Sdn Bhd yang baru menerbitkan produk sulungnya, filem televisyen Terobek Raya di saluran Astro First Eksklusif.