“Tahu Tak Dapat Tahan Rasa Mengantuk Bila Bulu Roma Meremang, Tandanya Saya Harus Berhenti Dan Tidur,” – Haiza Dedah ‘Habit’ Pelik

Share

Penyanyi dan penyampai radio, Haiza mengakui ada ketikanya dia kerap kali rasa mengantuk ketika memandu, lebih-lebih lagi apabila bersendirian.

Malah, situasi tersebut menyebabkan Haiza atau nama sebenarnya, Norhaizah Nordin, 41, pernah terlibat kemalangan gara-gara mengantuk.

Dia bagaimanapun bersyukur kerana tidak mengalami sebarang kecederaan dan setakat ini tidak membahayakan nyawa pemandu lain.

“Saya tahu tidak dapat menahan lagi rasa mengantuk apabila bulu roma meremang di seluruh badan. Itu tandanya saya harus berhenti dan tidur seketika agar tidak membahayakan nyawa kerana memaksa diri untuk memandu.

“Kadang kala, rumah saya sudah dekat tetapi tidak dapat menahan mata lagi. Maka, saya mengambil pendekatan untuk melelapkan mata di tempat selamat sehingga rasa okay semula untuk kembali memandu.

“Bukan seminit dua saja, pernah paling lama saya tidur dua jam di dalam kereta. Apatah lagi, saya bertugas sebagai penyampai radio segmen pagi, bulan puasa ini mencabar juga kerana kurang tidur,” katanya.

Atas apa yang berlaku, dia juga maklum akan perangai anehnya kepada suami, Norhanaphe Omar.

Nasihat Haiza buat mereka yang mempunyai ‘habit’ atau perangai aneh yang sama, berhenti dan rehatlah seketika jika terlalu mengantuk agar tidak membahayakan nyawa pemandu lain pada masa yang sama.

“Suami saya menegaskan enjin kereta harus dimatikan, tingkap dibuka sedikit untuk udara masuk dan kawasan hendak tidur itu selamat. Bukan main tidur saja di mana-mana itu bahaya lebih-lebih lagi kita wanita.

“Malah, saya juga turut menyorokkan bag tangan dan tidak meletakkannya di tempat terdedah kerana pernah wujud kejadian rompak juga.

“Pelbagai langkah keselamatan perlu diambil, bahaya jika tidur dengan membiarkan enjin tidak dimatikan,” katanya lagi kepada MH.

Foto: Instagram Haiza, Indigital

IKLAN