“Susah Macam Mana Pun, Yang Penting Kena Senyum,” – Kesemua Jari Kaki Kiri Sudah Dipotong, Bad Indigo Kini Bargantung Pada ‘Walker’

Share

Anggota kumpulan Indigo, Bad mendedahkan dirinya kini sudahpun kehilangan kesemua jari kaki kirinya akibat penyakit kencing manis yang dideritainya ketika ini.

Memetik laporan Harian Metro, Bad atau nama sebenarnya, Badrul Izhan Yeop Abdullah kini terpaksa bergantung kepada alat berjalan (walker) sejak Oktober tahun lalu.

“Mulanya jari kecil dulu kena potong. Kemudian tiga jari lagi selepas sebulan dan terakhir ibu jari pada September tahun lalu. Sekarang semua jari kaki kiri sudah tidak ada.

“Disebabkan itu, ia membataskan pergerakan saya dan perlu menggunakan ‘walker’ yang turut berfungsi seperti kerusi roda,” katanya seperti yang dipetik.

Dalam pada itu, suami kepada penyanyi, Ashira Aziz ini turut tidak menolak andai dia terpaksa menggunakan kerusi roda bagi mengurangkan pergerakan pada kakinya.

Katanya lagi, dia juga harus membersihkan luka di bahagian kakinya itu selang sehari.

“Sejak itu pergerakan saya sangat terbatas dan memenatkan apabila bergerak. Ini kerana saya banyak menggunakan kaki kanan untuk menampung badan. Sekarang lutut kanan saya pun sudah sakit.

“Saya seperti akan menggunakan kerusi roda juga nanti sebab kaki ini banyak tekanan hingga mengakibatkan luka selalu terbuka.

“Apa yang menjadi masalah sekarang apabila banyak juga tempat yang tidak mesra OKU. Jadi susah untuk saya bergerak.

“Namun, susah macam mana pun, apa yang penting kena senyum. Ini kerana Allah Maha Adil, jadi ada yang lebih baik untuk saya, Insya-Allah,” katanya lagi.

Pada masa sama, Bad turut memaklumkan dia juga telah menerima bantuan daripada beberapa agensi kerajaan bagi meringankan beban dirinya dan juga keluarga.

“Bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) belum dapat lagi sebab saya belum lengkapkan borang. Alhamdulillah, baru-baru ini dapat sumbangan daripada Kementerian Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL),”akhirinya.

Sebelum ini, Bad memaklumkan dia kini sedang didalam proses untuk memohon status Orang Kelainan Upaya (OKU) Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi mengurangkan kos rawatannya dari semasa ke semasa.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Sumber & Kredit Foto: Harian Metro & Instagram Bad Indigo

IKLAN