
Pelakon Khaled Asharief mengakui dirinya menerima kritikan teruk selepas terlibat di dalam gimik pergaduhan melibatkan pasangan suami isteri dan isteri kedua di Bukit Bintang, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Bagaimanapun, Khaled merasakan mesej yang ingin disampaikan melalui gimik itu benar-benar sampai ke jiwa penonton dan netizen.
“Saya akui memang terima banyak kecaman di ruangan ‘direct message’ (DM) di media sosial. Ia secara tidak langsung membuktikan yang eksperimen sosial kami itu benar.
“Bila orang melihat konten itu, laju sahaja mereka nak buat konklusi sendiri. Siap ada yang nak menyebelahi satu-satu pihak.
“Ia menunjukkan orang kita ini ramai yang suka menyibuk tanpa mengetahui cerita yang sebenar,” katanya kepada MH.
Khaled berkata sedemikian ketika ditemui di sesi sidang media yang berlangsung di pejabat Trendztok Studios, baru-baru ini.
Insiden pergaduhan yang tular di platform media sosial itu merupakan gimik bagi mempromosikan program podcast terbaharu, Bad Gal Channel yang akan disiarkan bermula September ini.
Dalam masa sama, Khaled akui kecaman sedikit sebanyak memberikan kesan terhadap mentalnya sejak akhir-akhir ini.
“Saya terima kecaman sehingga sukar nak tidur malam. Sebab itulah saya nampak agak letih sejak kebelakangan ini. Tak mengapalah. Saya faham situasi ini.
“Kini, saya dapat merasai sendiri bagaimana rasanya menjadi orang yang dikecam. Saya tak sangka kesannya akan jadi sampai begini. Namun, saya memang sudah bersedia.
“Sebaik sahaja insiden itu berlaku, saya nampak wajah saya sendiri viral di media sosial. Saya anggap ini adalah satu pengalaman baru,” ujarnya.
Sementara itu, Khaled menyifatkan reaksi orang ramai itu sebagai bukti bahawa lakonan mereka benar-benar berjaya mencetuskan emosi dalam kalangan penonton.
“Itu menunjukkan lakonan kami menjadi sehingga ramai yang terasa hati dan nak memaki hamun. Bila jumpa di luar pun, ada yang pandang-pandang dan tunjuk saya.
“Saya pula tak pernah berlakon teater. Saya anggap kejadian itu adalah satu bentuk lakonan yang ikhlas.
“Pujian juga harus diberikan kepada Zizi Hazirah kerana menunjukkan kualiti lakonan yang bagus,” ujarnya lagi.
Ditanya mengenai reaksi keluarga terdekat, Khaled mendedahkan dirinya sudah pun menjelaskan mengenai perkara sebenar di mana ia hanyalah lakonan semata-mata.
“Ada juga keluarga terdekat yang mesej dan bertanyakan kepada saya, bila saya berkahwin? Adakah saya berkahwin senyap-senyap sebanyak dua kali? Kenapa tak jemput?
“Jadi, saya terangkan kepada mereka perkara sebenar. Sebenarnya tiada apa pun yang berlaku. Ia hanyalah lakonan. Saya tak mahu mereka risau. Saya minta mereka rahsiakan dahulu.
“Bapa saudara saya yang tinggal di London juga tahu tentang perkara ini,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Khaled tidak melihat penglibatannya dalam gimik tersebut sebagai satu bentuk publisiti murahan, sebaliknya menganggap pengalaman berkenaan cukup bermakna buat dirinya sebagai pelakon.
“Jika orang kata ini adalah publisiti murahan, pada saya pengalaman itu lebih penting. Saya dapat berlakon dengan jiwa di tengah-tengah bandar sambil disaksikan oleh masyarakat.
“Bayangkan jika berlakon pun saya sudah merasai hal seperti ini, apatah lagi bagi mereka yang benar-benar melalui situasi poligami seperti yang kami paparkan ini.
“Mereka mesti lagi serabut. Kesian pada mereka,” akhirinya.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.