
“Suaranya tinggi, merendah diri dan bagi saya dia seorang penghibur sejati seperti Kris Dayanti kalau di Indonesia.”
Demikian kata penyanyi baharu dari negara jiran, Asrilia yang bukan sahaja menyimpan hasrat mahu berkolaborasi dengan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menerusi apa-apa projek lagu, tetapi turut mengagumi figura berkenaan.
Menurut pemilik nama sebenar Asrilia Kurniati kelahiran Palembang ini, menjadi impian terbesarnya berpadu vokal dengan Siti yang merupakan antara idolanya dalam dunia seni suara sejak dulu.
“Saya sentiasa mengagumi Siti Nurhaliza. Lagu-lagunya semua saya suka seperti Aku Cinta Padamu, Bukan Cinta Biasa, Wajah Kekasih, Cindai, Seindah Biasa dan banyak lagi.
“Jika diberi peluang untuk berkolaborasi dengan penyanyi di Malaysia, sudah tentu saya mahu memilih Siti kerana kehebatannya sukar dinafikan lagi.
“Rasanya bukan saya seorang, mana-mana penyanyi Indonesia pun pasti mengaguminya,” katanya.
Pelantun lagu Di Mana Salahnya dan Semakin Rindu Kemarin ini juga mengakui mahu dikenali di Malaysia jika peluang itu terbuka.
“Indonesia dan Malaysia itu satu rumpun. Jadi saya mahu menggunakan peluang ini untuk berkongsi bakat yang ada di Malaysia.
“Sebagai langkah pertama untuk dikenali di sini, saya merakamkan semula lagu Terima Kasih Cinta nyanyian asal oleh Afghan. Saya tahu lagu ini cukup popular di Malaysia.
“Jadi para peminat di sini boleh mendengar lagu Terima Kasih Cinta versi wanita yang saya rakamkan.
“Tiada istilah mahu menumpang populariti lagu tersebut, tetapi saya hanya mahu berkongsi bakat yang ada. Lagi pun ia satu kelainan apabila penyanyi wanita tampil dengan lagu itu.
“Saya harap, Terima Kasih Cinta versi Asrilia dapat diterima di sini. Dalam masa yang sama, ini satu permulaan untuk saya dikenali di Malaysia,” katanya.



Sedia Terima Kritikan & Gosip
Bukan itu sahaja, Asrilia akui sebagai artis, dia bersedia menerima apa sahaja kritikan atau komen netizen terhadap dirinya.
Dalam masa yang sama, Asrilia juga menganggap mana-mana artis yang terlibat dengan gosip atau publisiti murahan, itu semua bergantung pada penilaian masyarakat.
“Bagi saya, publisiti murahan atau tidak, itu bergantung kepada orang lain yang menilainya. Kita sebagai public figure sendiri harus terima jika apa yang kita lakukan ditafsir dengan pelbagai andaian.
“Jika niat kita lakukan sesuatu disalahanggap, itu perkara biasa. Tidak harus cepat melenting atau marah kerana kita yang memilih kerjaya ini.
“Bukan hanya berkongsi bakat, tetapi kita juga harus bersedia fizikal dan mental jika ada perkara yang menyenangkan.
“Pendek kata, publisiti baik atau tidak, hadap saja. Itu jalan yang kita pilih. Asalkan kita tidak lakukan jenayah,” tambahnya lagi.
Album keduanya yang berjudul Asrilia mempunyai 10 buah lagu termasuk Terimakasih Cinta, Serumah Tapi Tak Bersama, Cinta Kamu dan Bersujud.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




