Struggle Lebih 7 Tahun Dalam Seni, Ernie Zakri Kini Boleh Hela Nafas Lega

????????????????????????????????????

Bekas Juara Bintang RTM 2009, Ernie Zakri atau nama lengkapnya, Nur Ernie Shahirah Zakri memanjat rasa syukur kerana dirinya kini kian diterima pencinta seni hasil usaha, kesungguhan dan berkat doa keluarga serta peminat.

Katanya, selama lebih tujuh tahun memperjuangkan muziknya dalam dunia seni suara tempatan, baru sekarang bintang ini boleh menghela nafas lega apabila sudah ada yang mulai sedar akan kehadirannya dalam industri showbiz lokal.

“Seujujurnya saya bersyukur dan terima kasih buat semua yang menyokong perjalanan seni saya dari mula sehingga kini. Kiranya usaha berbaloi setelah sekian lama berusaha menempatkan diri dalam seni. Tiada istilah jemu atau putus asa kerana inilah minat dan cita-cita saya sejak kecil lagi. Sebab kalaulah perasaan tersebut ada, sudah lama saya tinggalkan profesion yang dilakukan sekarang.

 

“Bagaimanapun, meski tidaklah sepopular rakan artis sedia ada, namun setidak-tidaknya perhatian yang diterima kini menjadi penguat semangat untuk saya melakukan yang lebih baik pada masa depan,” luah Juara program Duo Star Astro bersama Syamel ini lagi kepada Media Hiburan.

Tidak lagi mahu pandang ke belakang, bintang asal Kuala Lumpur ini optimis untuk memperkasa langkah dalam nyanyian, sekali gus mahu membuktikan sesuatu kepada peminat.

IKLAN

Apatah lagi apabila sebelum ini, penyanyi Nombor Satu Negara, Datuk Siti Nurhaliza ada memujinya, sekaligus memberi bayangan bahawa Ernie punya sesuatu yang istimewa dalam dirinya.

“Bila penyanyi idola berkata sesuatu, ia sudah pasti memberi 1001 makna buat saya. Siapalah Ernie Zakri kalau nak dibandingkan dengan beliau.

 

“Cuma saya tidak boleh menjanjikan apa, cukup sekadar saya ‘jujur’ dalam apa yang dilakukan sekarang dan cuba sehabis baik, insya-ALLAH,” katanya yang kini popular dengan lagu duet bersama Syamel berjudul Aku Cinta.

Lagu yang mengisahkan persoalan cinta di antara dua jiwa itu turut menjadi runut bunyi untuk drama bersiri Hikayat Cinta Si Pematah Hati lakonan Alif Satar dan Nabila Nazari. Lebih manis, lagu tersebut juga turut tersenarai sebagai antara 12 lagu terbaik yang bakal bersaing di Anugerah Juara Lagu ke-32 Februari depan.

“Buat masa sekarang, kami sedang mempromosikan lagu berkenaan. Aku Cinta merupakan lagu duet kami selepas tamatnya program Duo Star awal tahun ini dan ia merupakan kerjasama pertama saya dengan Syamel.

 

“Jadi sudah tentu kami mengharapkan respons baik dari pendengar dan semoga lagu ini dapat diterima baik semua,” impi Ernie yang sebelum ini cukup dikenali dengan lagu Jangan Marah ini lagi.

Terdahulu, muzik video Aku Cinta juga sudah pun ditonton lebih lima juta kali menerusi YouTube.

IKLAN