
Fenomena alt-pop global, Sombr, mengumumkan pelancaran album debutnya berjudul I Barely Know Her yang dijadualkan pada 22 Ogos menerusi Warner Records.
Album ini dijangka melonjakkan nama penyanyi berusia 20 tahun itu ke status ‘superstardom’, susulan kejayaan besar sepanjang 2025 dengan rekod carta yang memecah pelbagai pencapaian artis baharu, selain siri jelajah konsert utama dan arena yang habis terjual di seluruh dunia.
Uniknya, I Barely Know Her ditulis sepenuhnya oleh sombr sendiri dan diterbitkan bersama penerbit legenda Tony Berg (Phoebe Bridgers, Boy Genius, The Replacements, Aimee Mann, Michael Penn).
Album ini juga akan diluncurkan sebelum konsert jelajah Amerika Utara sombr bermula dan kini boleh dipra-simpan di semua pelantar penstriman utama.

Dari Caroline ke MTV VMA 2025
Pada usia 19 tahun, sombr atau nama sebenarnya Shane, mula mencipta fenomena dengan single debut Caroline, yang mencatat lebih sejuta strim pada minggu pertama pelancaran.
Kini, ia melepasi 38 juta strim di Spotify. Lagu-lagu lain seperti Willow, Would’ve Been You (45 juta strim) dan Do I Ever Cross Your Mind (13 juta strim) turut mendapat sambutan hangat, menjadikannya antara artis muda paling menyerlah.
Perjalanan karier sombr semakin kukuh apabila disenaraikan dalam Billboard 21 Under 21 pada 2025, mengiktiraf pengaruh besarnya dalam membentuk masa depan muzik global.
Malah, dia turut tercalon di MTV Video Music Awards 2025 bagi kategori Artis Baharu Terbaik dan Video Alternatif Terbaik, mengukuhkan statusnya sebagai bintang alt-pop yang sedang meningkat.
Single terbaharu, 12 to 12, menjadi kegemaran peminat dan melonjakkan jumlah pendengar bulanan di Spotify kepada lebih 3.6 juta.
“Rasa seronok bila dengar suara sendiri semakin berkembang. Belajar nyanyian klasik mengajar saya cara mendapatkan apa jua bunyi yang saya mahukan.
“Dan dapat berhubung dengan orang lain menggunakan alat magis ini adalah sesuatu yang mendorong dan memberi saya semangat.
“Saya menghasilkan seni yang saya rasa magis, dan ia akan menemui jalannya tidak kira apa pun. Saya benar-benar mencintai seni dan selagi saya dapat menggunakan apa sahaja yang ada dalam diri saya untuk mencipta sesuatu yang memberi inspirasi kepada lebih ramai orang, saya gembira… atau sekurang-kurangnya tidak terlalu ‘somber’,” katanya.
Untuk rekod, sombr baru sahaja menamatkan Jelajah Amerika Utara 2024 dengan persembahan habis jual di bandar utama seperti New York, Los Angeles, Atlanta dan Toronto. Persembahan penutup di lokasi ikonik The Troubadour di Los Angeles turut dipuji media muzik kerana persembahan yang bertenaga dan memukau.
Graduan LaGuardia High School di New York ini mempelajari muzik klasik sambil membangunkan material sendiri, menggabungkan elemen indie, alt-pop dan penceritaan emosi. Dengan pengiktirafan antarabangsa, pencalonan anugerah besar, serta kejayaan jelajah, sombr kini semakin kukuh sebagai salah seorang artis muda paling menjanjikan generasinya.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




