Berita

Siti Nurhaliza Dedah Realiti Asnaf, Yayasan Nurjiwa Aktif Bantu Hingga Ke Pedalaman…. Usaha Setiap Jumaat Sumbang Makanan Buat Pelajar B40

Share

Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza meluahkan rasa syukur apabila badan kebajikan Yayasan Nurjiwa, terus diberi peluang untuk membantu golongan memerlukan menerusi penyediaan makanan kepada pelajar daripada keluarga B40 pada setiap Jumaat.

Menurut penyanyi lagu Biarlah Rahsia itu, program berkenaan bukanlah sesuatu yang baharu, sebaliknya telah dilaksanakan sejak lebih dua tahun lalu dan dipergiatkan lagi menjelang Ramadan bagi memastikan lebih ramai golongan asnaf menerima manfaat.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran kempen tanggungjawab sosial korporat (CSR) Cuckoo Dream Fund, baru-baru ini.

Turun Padang Cari Asnaf Yang Benar-Benar Memerlukan

“Program ini bukan baharu tapi sudah lama kita buat. Yayasan Nurjiwa memang ada menyediakan makanan untuk para pelajar B40. Usaha ini sudah dijalankan lebih dua tahun.

“Usaha ini juga lebih diperbanyakkan ketika di bulan Ramadan,” katanya kepada MH.

Dalam pada itu, Siti memaklumkan Yayasan Nurjiwa tidak hanya bergantung kepada senarai penerima bantuan yang diberikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), malah mereka sendiri akan turun padang mencari golongan yang benar-benar memerlukan.

Menurut Siti lagi, ada juga keluarga asnaf yang langsung tidak mengenali dirinya mahupun suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa kerana terputus hubungan dengan dunia luar.

“Kami memang keluar mencari asnaf dan tidak bergantung sepenuhnya pada nama-nama yang diberikan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Kita akan turun ke tempat yang orang memang tak pergi pun. Malah, kadang-kadang mereka ini tak kenal pun siapa Siti Nurhaliza dah Datuk K.

“Memang sampai ke tahap begitu. Kami pergi ke lokasi rumah yang memang tiada TV atau guna media sosial. Mereka ini memang golongan yang betul-betul susah.

“Kebanyakkan mereka ini tinggal di kawasan pendalaman,” ujarnya lagi.

Konsert Jadi Medium Kumpul Dana Yayasan

Pada masa sama, Siti menjelaskan setiap konsert berskala besar yang dianjurkannya turut dijadikan platform untuk mengumpul dana bagi disalurkan kepada Yayasan Nurjiwa.

Ia sekali gus membolehkan lebih banyak bantuan diberikan kepada masyarakat.

“Saya gembira bila saya dapat buat persembahan berskala besar, saya dapat mengumpul dana.

“Setiap kali saya mengadakan konsert, memang sudah menjadi niat saya untuk salurkan kepada Yayasan Nurjiwa.

“Insya-Allah, untuk konsert Gema Bumantara nanti, saya memang ada perancangan untuk salurkan lagi kepada yayasan ini. Bila ada dana, kita boleh bantu dan buat macam-macam lagi.

“Impian saya dan suami adalah untuk meneruskan yayasan ini sampai bila-bila. Biarlah sampai Aafiyah, Afwa atau anak-anak Datuk K pula yang ambil alih. Kita dapat bantu masyarakat yang memerlukan,” akhirinya.

Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini

Published by
Aizam Manaf