
Penyanyi Siti Nordiana berharap agar para pendengar tidak terlalu membandingkan lagu irama Malaysia terbaharunya berjudul ‘Ahai’ dengan lagu-lagu yang dimuatkan dalam album terbaharu Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, iaitu Gema Bumantara.
Menurut Siti Nordiana, atau lebih mesra disapa Nana, fenomena kebangkitan semula lagu-lagu berentak irama Malaysia ini sebenarnya adalah satu perkembangan positif untuk industri muzik tempatan.
Ia menandakan irama tradisional tersebut kembali diangkat seperti zaman kegemilangannya dahulu.

“Pada saya, masing-masing ada keistimewaan sendiri. Sama ada lagu saya atau Datuk Seri Siti, kami memperjuangkan irama yang sama.
“Bila Biduanita Negara buat lagu irama Malaysia, apa salahnya saya menumpang sedikit vibe tersebut. Setidaknya saya ikut belakang Datuk Siti dan pendengar punyai banyak pilihan.
“Jadi, saya rasa kita tak perlu banding-bandingkan sebaliknya, kira raikan. Datuk Siti ada gaya lagu yang tersendiri. Begitu juga saya.
“Pada saya, kita sama-sama berusaha untuk kembali menaikkan nama irama Malaysia. Saya harap selepas ini lebih ramai lagi artis Malaysia yang buat lagu irama Malaysia,” katanya kepada MH.
Nana berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran single Ahai baru-baru ini.
Kembali Hidupkan Suasana Tradisional
Nana turut meluahkan penghargaan kepada pencipta lagu dan komposer Ahai, iaitu Ikhwan Fatana dan Wan Saleh, yang berjaya menghasilkan sebuah karya dengan keunikan tersendiri.

“Saya sebenarnya sudah lama merancang untuk mengeluarkan lagu irama Malaysia yang baharu. Kriteria yang saya mahukan adalah lagu itu mempunyai roh-roh tradisional yang popular sewaktu kita membesar.
“Saya mahu lagu itu punyai gaya seperti lagu-lagu arwah Pak Ngah dan komposer-komposer sezaman itu. Kita rindu suasananya.
“Jadi, kalau boleh, saya mahu kembalikan kegemilangan zaman itu. Saya nak pendengar tahu muzik seperti ini masih ada lagi di industri kita.
“Maka terhasillah lagu ini dengan sentuhan daripada Ikhwan Fatana dan Wan Saleh. Ia merupakan gabungan tradisional dan sedikit elemen moden,” ujarnya.
Nana turut yakin bahawa lagu-lagu berentak irama Malaysia masih mempunyai tempat istimewa di hati para peminat walaupun zaman muzik kini semakin moden.

“Pada saya, lagu irama Malaysia ini masih relevan sampai sekarang. Masih ada rakan-rakan artis yang menghasilkan lagu irama Malaysia dan karya mereka mendapat sambutan yang menggalakkan.
“Saya rasa peminat masa kini sudah matang dan terbuka untuk menerima apa sahaja genre lagu yang kita sajikan. Segalanya berbalik kepada lagu.
“Jika lagu itu mereka suka, apa sahaja genre pasti mereka akan terima. Ketika ini, kita pun tak sangka sesebuah lagu itu boleh popular,” akhirinya.
Ahai kini sudah boleh didengari di seluruh platform penstriman, manakala muzik video rasmi boleh ditonton menerusi saluran YouTube 17 Eleven Music.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




