“Siap Tanya Mana Suami?” – Model & Pelakon Amy Nur Tinie Akui Ada Keliru, Wajah Mirip Puteri Aishah?

Share

Kerap kali disalah sangka sebagai Puteri Aishah kerana dikatakan mempunyai iras pelakon berkenaan, bintang baharu, Amy Nur Tinie akui dia tidak pernah berkecil hati.

Sebaliknya, Amy atau nama sebenarnya, Amy Nur Tinie Abdul Aziz, 26, melihat perkara itu dari sudut positif malah turut pernah berhadapan dengan perkara lucu kerana dikatakan sangat seiras dengan rakan pelakonnya itu.

“Memang bukan seorang dua yang kata muka saya sama macam Puteri Aishah, dah ramai cakap macam itu. Sampaikan ada peminat tersalah anggap saya Puteri Aishah bila jumpa saya di luar.

“Ada kejadian bila ada seorang peminat mahu bergambar dengan saya… masa tu dalam hati saya agak tertanya-tanya sebab saya pelakon baharu, macam mana pula dah ada peminat?

“Lepas sahaja bergambar, tiba-tiba peminat itu mengucapkan tahniah dan selamat pengantin baharu. Dia pun siap tanya mana suami?

“Terus saya kata ini salah orang ini, saya bukan Puteri Aishah. Mesti peminat itu menyesal bergambar dengan saya,” katanya berseloroh.

Selain Puteri Aishah, wajah Amy juga turut disamakan dengan pelakon Rozita Che Wan.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Amy kini selesai menjalani penggambaran filem psiko thriller, Jemputan Ke Neraka.

Filem arahan Amor Rizan itu menjalani penggambaran sekitar Pulau Carey dan Kuala Lumpur.

“Ini merupakan filem kedua saya selepas 10 Tips Tipu Bini. Saya teruja terlibat dalam projek filem psiko thriller selepas pernah mencuba genre komedi sebelum ini.

“Kalau boleh saya nak cabar diri dengan melakonkan semua genre filem agar penonton dapat melihat bakat dan keupayaan saya,” katanya.

Selain Amy, filem yang dijangka ditayangkan tahun hadapan itu turut dibintangi Janna Nick, Sharifah Sakinah, Hafreez Adam, Hariz Hamdan, Nick Syaf dan Jasper Supayah.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

 

Foto:  Instagram Amy Nur Tinie

IKLAN