Shuib Terkilan, Cerita Satu Situasi Dengan Arwah Isteri – “Tengah Tidur Saya Bangun Dalam Keadaan Marah, Masakkan Telur Untuk Dia.”

Share

Kehilangan insan tersayang pastinya meninggalkan memori yang pahit untuk ditelan.

Begitu juga yang dilalui usahawan, Shuib yang sehingga kini masih lagi menangisi kehilangan isteri tercinta, Allahyarham Siti Sarah Raisuddin.

Walaupun hampir sembilan bulan Sarah menghembuskan nafas terakhir, Shuib mengakui sukar untuknya melupakan kenangan manis bersama penyanyi itu.

Menerusi satu rakaman video yang dirakamkan sebuah program hiburan, Shuib atau Shahmira Muhammad, 38, mengakui terkilan kerana pernah menegur arwah Sarah gara-gara permintaannya yang mahu menjamah nasi ketika awal pagi.

“Dia kejut saya dalam pukul 2 pagi. Esok saya ada kerja. Dia tengah sarat ni.

“Dia cakap ‘B, I nak makan nasi putih, telur mata dengan kicap…’ Saya marah, tengah-tengah tidur, saya bangun dalam keadaan marah.

“Saya cakap ‘Aduh… 2.30 pagi Bu!’ Saya ingat momen tu, saya masak telur tu. Saya naik ke atas, masih lagi dengan marah.

“Saya bagi kat dia, dia seronok sangat dapat nasi tu… saya nampak dia tengah duduk makan dan saya tidur. Tak teman dia makan.

“Dalam banyak-banyak benda itu yang saya nak cakap, saya nak minta maaf sangat dengan dia,” kata Shuib sambil berlinangan air mata.

Bapa kepada empat cahaya mata itu juga sempat menitipkan pesanan agar sentiasa menghargai insan tersayang di sekeliling sebelum terlambat.

“Kita kena menghargai siapa pun lebih-lebih lagi orang yang kita sayang.

“Kita tak tahu bila momen Allah akan ambil orang itu,” luah Shuib lagi.

Sarah menghembuskan nafas terakhir pada 9 Ogos tahun lalu akibat Covid-19 di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Cheras, Kuala Lumpur.

Allahyarham berkahwin dengan Shuib pada Februari 2011.

Hasil perkahwinan, pasangan itu dikurniakan empat cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 11, Dzahira Talita Zahra, 9, Ariq Matin, 7, dan Ayash Affan yang kini berusia lapan bulan.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Foto:  Instagram Shuib

IKLAN