
Bintang tersohor Bollywood, Shah Rukh Khan dan Rani Mukherji mencatat sejarah peribadi apabila masing-masing kali pertama meraih anugerah Pelakon Lelaki Terbaik dan Pelakon Wanita Terbaik pada Anugerah Filem Kebangsaan kali ke-71 yang berlangsung di ibu negara India pada 1 Ogos lalu.
Kemenangan ini dianggap istimewa kerana ia merupakan kali pertama Shah Rukh Khan, 59, menerima pengiktirafan tertinggi tersebut sepanjang lebih 33 tahun bergelar anak seni. Beliau memenangi kategori berprestij itu menerusi lakonan mantap dalam filem aksi pecah panggung, Jawan.
Rani, 47, pula meraih trofi Pelakon Wanita Terbaik menerusi persembahan berkesan dalam filem Mrs Chatterjee vs Norway. Ia juga merupakan anugerah kebangsaan pertama buat aktres itu sejak mula menceburi industri seni lebih tiga dekad lalu.
Majlis anugerah yang mengiktiraf pencapaian terbaik perfileman India itu turut menyaksikan Shah Rukh Khan berkongsi kemenangan dengan pelakon Vikrant Massey menerusi filem 12th Fail.

BACA JUGA: Rani Mukerji ‘Beku’ Saat Penggambaran Bersama Shah Rukh Khan, Perlu Diusung Ke Kereta
Sementara itu, kemenangan Rani disifatkan pengiktirafan kepada dedikasi beliau membawa watak penuh emosi dengan kredibiliti tinggi dalam filem yang diinspirasikan berdasar kisah benar itu.
Kejayaan dua pelakon veteran ini turut diraikan rakan industri termasuk pengarah tersohor, Karan Johar yang menyifatkan ia sebagai detik ‘full circle’ kerana pernah mengarahkan kedua-duanya dalam filem klasik Kuch Kuch Hota Hai pada 1998.
Gambar mesra Shah Rukh dan Rani bersama Gauri Khan yang dikongsi di media sosial mencuri perhatian ramai, dengan rata-rata peminat mengucapkan tahniah serta menyifatkan ia sebagai detik manis dunia hiburan Bollywood.
Penghargaan ini sekali gus membuktikan kedudukan Shah Rukh sebagai ‘Raja Bollywood’ kekal utuh, manakala Rani terus mengekalkan reputasi sebagai antara pelakon wanita paling berpengaruh dalam industri perfileman Hindi.
++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




