
Pengacara Yaya Zahir mengakui turut terkesan berikutan nahas helikopter di Long Lellang, Baram yang tular baru-baru ini.
Menerusi satu hantaran di Threads, Yaya menyifatkan insiden tersebut sebagai antara ketakutan terbesar dalam dirinya sebagai isteri kepada juruterbang, Arriz Azim.
“Masih teringat tentang tragedi helikopter itu.
“Ia merupakan antara ketakutan terbesar saya ketika suami bekerja di sana sebagai juruterbang FDS,” tulisnya.
Dalam hantaran sama, bekas pengacara HLive itu turut mendedahkan dia mengalami keresahan yang teruk setiap kali suaminya keluar menjalankan tugas.
Malah, Yaya juga pernah menghubungi Allahyarham Kapten Zainol untuk mengetahui lokasi suaminya.
“Setiap kali dia terbang, saya akan mengalami ‘anxiety’ dan pernah suatu ketika, saya tidak dapat menghubungi suami dan terlalu cemas sampai saya sendiri hubungi Arwah Kapten Zainol untuk mengetahui di mana lokasi suami saya.
“Begitu sekali tahap ketakutan saya,” kongsinya lagi.
Dalam hantaran sama, ibu kepada seorang cahaya mata itu turut menitipkan doa agar mangsa tragedi tersebut dicucuri rahmat.
“Saya amat menghormati tugas yang mereka lakukan, dan hati ini sangat tersentuh mengenangkan apa yang sedang dilalui oleh keluarga mangsa ketika ini.
“Al-Fatihah dan rest in peace,” titipnya.
Terdahulu, tular satu insiden helikopter terhempas berhampiran Lapangan Terbang Long Lellang, Ulu Baram, Sarawak yang melibatkan lima penumpang termasuk seorang juruterbang maut dalam nahas itu.
Lima mangsa yang terlibat dikenal pasti sebagai Kapten Zainol, Dr.Ainul Baroah, Penolong Pegawai Perubatan, Alexson Adit serta dua jururawat, Debra Moset dan Jessie Paya.
Untuk rekod, Yaya Zahir mendirikan rumah tangga dengan pasangannya yang juga merupakan seorang juruterbang, Arriz Azim pada 9 Ogos 2019.
Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki bernama Atheer.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.