“Setiap Hari Dia Menangis Rindukan Afnan,” – Azmi Saat Beri Semangat, Titip Ucapan Istimewa Sempena Hari Lahir Isteri

Share

Penyanyi, Azmi Saat menitipkan ucapan istimewa bersempena dengan ulang tahun kelahiran isterinya, Nazirah Muhammad.

Dalam ucapannya itu, Azmi turut mendoakan semoga kehidupan isterinya itu sentiasa diberkati dan dilimpahkan rezeki yang berpanjangan.

“Hari ni hari ulang tahun kelahiran orang yang sangat bermakna dalam hidup saya. Dialah isteri, sahabat, kawan dan nyawa saya.

“Mohon kawan-kawan doakan dia agar sentiasa dirahmati, diberkati, dilimpahkan rezeki yang berkat, sentiasa dalam kebaikan di dunia dan akhirat,” tulisnya.

Ucapan istimewa itu dikongsikan sendiri oleh vokalist kumpulan Caliph Buskers itu menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di laman Instagram.

Dikesempatan itu juga, Azmi turut memaklumkan isterinya itu kini amat memerlukan kata-kata semangat dan peransang daripada orang ramai agar dia dapat menemui kekuatannya semula selepas pemergian anak tercinta genap sebulan yang lalu.

“Kalau sudi, tolonglah hadiahkan kata-kata positif untuknya. Hari ini genap sebulan Aruah Afnan lahir. Ternyata, dia masih belum betul-betul boleh melupakan saat-saat indah bersama cahaya mata kami.

“Walaupun keadaannya semakin baik, tapi setiap hari akan ada masa dia menangis kerana rindukan Afnan dan detik-detik indah itu,” kongsinya lagi.

Katanya lagi, dia berharap agar kata-kata positif itu dapat menaikkan semangatnya untuk meneruskan hari-hari yang mendatang.

“Mudah-mudahan kata-kata positif kalian dapat memberi seribu kekuatan buat dia. Insya Allah.

“Selamat ulang tahun kelahiran Nazira Muhammad,” ujarnya lagi.

Melihat di ruangan komen, rata-rata netizen memberikan kata-kata semangat buat isteri Azmi selain turut menitipkan doa bersempena dengan ulang tahun kelahirannya itu.

“Selamat hari lahir Nazira. Semoga terus diberikan kekuatan untuk menempuh dugaan dalam kehidupan. InsyaAllah ada hikmah yang lebih baik yang menanti. Amin.

“Selamat hari lahir Kak Nazira. Semoga akak kuat melalui dugaan hidup. Mudahan Allah menggantikan dengan yang lebih baik.

“Happy birthday. Reda dan sabar kak. InsyaAllah Allah SWT akan gantikan dengan yang lebih baik bila tepat masanya,” antara reaki-reaksi netizen di laman Instagram.

Terdahulu Azmi dan Nazira baru sahaja kehilangan anak tercinta, Afnan pada tanggal 30 September lalu selepas tiga hari bayi tersebut dilahirkan.

Dugaan tersebut sememangnya agak berat untuk diterima memandang mereka telah menanti hampir 10 tahun untuk menimang cahaya mata pertama.

Untuk rekod, pasangan ini telah pun mendirikan rumah tangga pada 2011.

Sumber: Instagram Azmi Saat

IKLAN