“Sesiapa Boleh Mohon Asal Penuh Syarat,” – Faizal Ismail Lulus Tauliah JAIS, Sifatkan Proses Bukan Mudah

Share

Pengacara dan penyampai radio, Faizal Ismail menzahirkan rasa syukur selepas namanya kini telah lulus dan ditauliahkan sebagai pengajar oleh pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Menurut Faizal, proses permohonan tersebut bukan sesuatu yang mudah kerana ia turut melibatkan penilaian daripada aspek teori dan lisan.

“Terima berita di Tanah Suci. Syukur tak terhingga. Setelah melalui dua proses penilaian secara teori dan lisan, permohonan Tauliah JAIS telah lulus.

“Namun perlu saya akui ia bukanlah satu proses yang mudah kerana kedua-dua penilaian mempunyai cabaran yang tinggi tanpa sebarang prejudis,” tulisnya.

Bagaimanapun, Faizal menjelaskan pentauliahannya itu lebih tertumpu kepada kategori motivasi dan bukannya ilmu-ilmu khusus.

“Apapun semuanya atas kehendak dan izin ALLAH SWT jua. Saya bukanlah mengajar ilmu-ilmu khusus dalam agama kerana saya juga masih perlu banyak belajar, namun kategori MOTIVASI seperti yang tertera di dalam surat ini akan memudahkan pergerakan saya untuk memenuhi hajat pihak yang mahu menjemput untuk sama-sama berkongsi manfaat,” kongsinya lagi.

Perkhabaran tersebut dikongsikan sendiri oleh penyampai radio Zayan itu menerusi sebuah hantaran di laman Instagram.

Dalam pada itu, Faizal turut menyeru kepada mereka yang bergiat aktif dalam dunia dakwah untuk turut sama memohon pentauliahan bagi memudahkan urusan semua pihak.

“Terima kasih tak terhingga kepada @jabatanagamaislamselangor atas penganugerahan tauliah ini. JAIS turut menggalakan supaya lebih ramai mereka yang mahu aktif dalam dunia dakwah agar memohon pentauliahan supaya tidak timbul perkara yang berbangkit di kemudian hari.

“InshaAllah moga ini menjadi bukti sesiapa jua boleh memohon asalkan memenuhi syarat yang ditetapkan. Jazakallah Alhamdulillah,” akhirinya.

Melihat di ruangan komen, rata-rata netizen dan rakan artis turut tumpang gembira dengan perkhabaran tersebut.

Terdahulu, Faizal kini sedang berada di Tanah Suci Mekah bagi membawa rombongan untuk menunaikan umrah.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Sumber & Kredit Foto: Instagram Faizal Ismail

IKLAN