“Seperti Mana Layan Mummy, Begitu Juga Layanan Pada Ibu,” – Dah Anggap Macam Ibu Sendiri, Mawar Rashid Singkap Rahsia Serasi Dengan Mentua

Share

Meski bergelar isteri pada usia yang agak muda, namun pelakon, Mawar Rashid nyata teruja dan mengakui dirinya ada cara tersendiri dalam bergaul dengan ibu mentuanya.

Bijak membawa diri sebagai menantu, Finalis Dewi Remaja 2015 ini juga sedia dikenali sebagai artis yang cukup rapat dengan ibu yang dipanggil mummy.

“Dulu ke mana sahaja Mummy pergi, pasti akan ada saya menemani. Dia seorang yang caring dan cukup lemah lembut selain sanggup berkorban apa saja demi anak. Tetapi lepas kahwin, dah tak boleh macam dulu.

“Pun begitu, hubungan dengan ibu mentua juga rapat kerana sudah ada ‘bonding’ dari awal. Seperti mana saya layan mummy, begitu juga layanan saya pada ibu (mentua). Awal-awal memang sedikit kekok, tapi ibu dan ahli keluarga yang lain banyak beri tunjuk ajar.

“Jadi timbul keserasian antara kami. Lagipun saya memang dilahirkan dalam keluarga besar dan kami sangat rapat. Jadi, apabila berada di rumah mentua, ia mengingatkan saya seolah-olah berada dalam keluarga sendiri.

“Mummy juga selalu ajar bagaimana untuk saya menjadi menantu yang baik pada mentua,” katanya seperti yang dipetik menerusi Keluarga.

Jelasnya lagi, pergaulan bersama keluarga sebelah suami khasnya bersama ibu mentua memberi ruang buatnya untuk belajar perkara baru.

“Seronok sebenarnya kerana saya dapat belajar cara dan budaya hidup orang lain. Maklumlah sebelum ini saya lebih ke arah orang Thailand.

“Tetapi keluarga mentua pula lebih tersusun, disiplin dan waktu ini saya memang belajar banyak benda baru. Ibu ajar bagaimana mahu jadi isteri dan menantu yang baik memandangkan usia saya masih muda.

“Kalau di rumah ibu memang rajin memasak, jadi saya akan bantu mana yang patut. Cuma selepas disahkan mengandung saya alami alahan dan tak boleh memasak. Tetapi ibu sangat memahami dan prihatin.

“Banyak nasihat yang beliau kongsikan,” ulas Mawar yang kini sedang sarat hamil anak kedua.

Sambil memanjat rasa syukur, dia pada masa sama turut berterima kasih kepada suami dan familinya.

“Masih banyak yang perlu saya belajar dalam kehidupan ini terutama sekali status dan tanggung jawab saya sekarang sudah berbeza. Apa pun saya bersyukur dan bahagia dengan apa yang saya tempuhi sekarang.

“Walaupun dulu saya meletakkan sasaran mendirikan rumah tangga di kala usia 28 tahun, tetapi saya tidak menyesal. Sebaliknya saya bertuah kerana mendapat suami yang penyayang dan bertanggung jawab.

“Malah sifat penyayang terhadap ibunya menunjukkan dia boleh menjadi suami yang baik kepada saya dan itu antara sebab kenapa saya setuju menjadi isteri kepada Raf.

“Memang saya akui agak takut dan gementar untuk menggalas tanggung jawab besar ini, tetapi suami dan ahli keluarga lain banyak beri sokongan. Tak timbul soal tak boleh enjoy sebaliknya saya rasa bertuah kerana sejak dulu saya sangat mementingkan keluarga.

“Malah bagi saya keluarga itu membahagiakan saya,” ujar Mawar yang turut mendoakan urusan bersalin anak keduanya nanti juga dipermudahkan.

Imbas kembali, Mawar mendirikan rumah tangga dengan suami, Raden Ahmad Faizal Yaakob atau Raf pada November 2017.

Pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Raden Muhammad Rafael Mac tahun lalu.

Mawar juga memiliki dua anak tiri iaitu Raden Ahmad Rayyan, 9, dan Raden Seri Raysaa Chanela, 5, hasil perkahwinan Raf bersama bekas isteri. 

Foto: Instagram Mawar Rashid

IKLAN