
Penyanyi dan guru vokal, Mark Adam mengakui terkejut apabila melihat kehadiran keluarga kakak sulungnya yang hadir menyaksikan persembahannya di konsert minggu ke-8 Gegar Vaganza musim ke-12 (GV12), malam tadi.
Meskipun tanpa kehadiran ibu tersayang, Mark menyifatkan kejutan kakaknya yang terbang ke Malaysia dari Filipina itu sebagai sesuatu yang istimewa, memandangkan hampir lima tahun mereka tidak bersua muka.
“Ini pertama kali mereka datang ke Malaysia. Saya agak terkejut tadi bila nampak keluarga saya hadir ke konsert minggu ini. Saya nak ibu juga hadir tapi dia tak boleh tinggalkan cucu-cucunya.
“Ini memang kejutan terbesar buat saya. Isteri saya memang pandai atur perancangan. Ketika segmen terakhir, saya nampak mereka duduk di kumpulan peminat saya. Alhamdulillah.
“Selepas ini, saya kena bawa mereka jalan-jalan di Kuala Lumpur dan pada masa sama, saya kena mula menghafal lagu,” katanya kepada MH.
Penyanyi lagu Marry Me itu berkata demikian ketika ditemui selepas tamat konsert minggu ke-8 GV12, di Auditorium MBSA, Shah Alam, pada Ahad.

Tak Bertemu Sejak Pandemik
Jelas Mark lagi, selepas fasa pandemik COVID-19, dia tidak berkesempatan untuk pulang ke Filipina disebabkan faktor ekonomi yang tidak mengizinkan.
“Kami sudah tidak berjumpa sebelum pandemik COVID-19 lagi. Kali terakhir saya pulang ke Filipina adalah pada lima tahun lepas.
“Selepas itu saya tidak pulang lagi. Kami kerap berhubung melalui panggilan video sahaja. Sebelum fasa pandemik, saya pulang ke Filipina hampir lima kali setahun.
“Selepas pandemik, ekonomi saya tidak berapa stabil. Jadi, saya tak dapat nak balik jumpa mereka. Kali ini, mereka pula datang jumpa di Malaysia,” ujarnya lagi.

Penghargaan Buat Isteri
Mark turut merakamkan ucapan penghargaan buat isterinya, Norazah Redzuan, yang menjadi perancang utama kejutan tersebut dan kembali mempertemukannya bersama kakak sulung.
“Dia isteri terbaik. Saya pun tak tahu bagaimana nak luahkan perasaan ini. Sejak dahulu lagi, isteri saya ini akan buat segalanya untuk saya.
“Saya rasa sangat bertuah kerana dikurniakan isteri sepertinya,” katanya lagi.
Malam tadi, Mark dilihat tidak dapat menahan sebak apabila kakak serta anak-anak buahnya datang menyapanya ketika sesi sidang media sedang berlangsung.
Mark kemudiannya terus bangun daripada sesi sidang media sebelum memeluk ahli keluarganya itu.
Momen penuh emosi tersebut nyata menyentuh hati ramai pihak dan turut disaksikan oleh rakan-rakan media yang membuat liputan konsert.
Malam tadi, Mark berada di tangga ke enam keseluruhan dengan markah sebanyak 64.75%, membawakan lagu Cari Tapak yang dipopularkan oleh Senario.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




