“Selagi Belum Dapat Aku Sujud Kaki Abah, Kau Janganlah Ambil Nyawa Ni Ya Allah. Tepat 10 tahun…,” – Linangan Air Mata Amelina Iringi Kisah Perkongsian Hidup

Share

Ratu Dangdut, Amelina baru-baru ini berkongsi mengenai situasi melanda dirinya selepas tiba-tiba hilang dari dunia seni kerana mendirikan rumah tangga bersama suaminya, pada ketika itu.

Penyanyi Janda Anak Enam itu meluahkan rasa menerusi salah satu program Di Balik Idola, beberapa hari lalu.

Panjang lebar bercerita, Amelina yang sinonim disapa Along antara lain akhirnya buka kisah fasa dirinya saat mendirikan rumah tangga sekitar 19 tahun lalu.

“Biasalah dalam kehidupan kita, akan lalui satu fasa peribadi. Sampai suatu saat, fasa saya berumah tangga. Menghormati ibu bapa, restu mereka amat penting. Sampai suatu tahap saya derhaka, pada Mak dan Abah.

“Derhaka tu sampai satu tahap saya cakap aku dah bagi semua, kesenangan pada mak bapa aku. Apa lagi? Aku bukan derhaka…Tapi sebenarnya, derhaka itu apabila kita buat mereka rasa tersinggung di dalam hati. Saya berkahwin tapi tanpa restu.

“Tanpa restu bapa, permulaan dah nampak dah, tiada kebahagiaan,” antara yang dikongsi Amelina dengan linangan air mata seperti yang diambil menerusi sedutan Di Balik Idola.

Malah, Amelina turut mengakui pada ketika itu, dia seorang isteri yang taat.

“Saya taat kepada suami. Apa yang diperkatakan saya kena dengar walau bapa sakit saya tak balik dan tak boleh balik. Saya pernah menahan hati bila bapa sakit, saya tak dapat balik dengan alasan yang macam tak payah balik.

“Kita kena minta izin, kalau suami tak izinkan, rasanya boleh balik tak?,” kongsinya lagi. Pada masa sama, adiknya Angah Hanafi turut berkongsi rasa sama pada program berkenaan. 

“Selepas Kak Long tiada, saya anak kedua menjadi tempah meluahkan perasaan Abah. Kadang-kadan kalau saya balik urusan kerja dia pasti tanya mengenai Amelina meski tengah sakit. Saya hanya mampu sedapkan hati dengan kata masih mencuba cari,” kata Angah.

“Saya mengadu pada Allah. Pernah saya doa selagi belum dapat aku sujud kaki Abah aku, kau janganlah ambil nyawa ni ya Allah. Tepat 10 tahun, ada satu hari saya sujud pada kaki, saya cakap ampunkan saya,” jelas Amelina yang turut menjelaskan situasi yang dialami saat mengetahui bapanya telah pergi dijemput ilahi.

Menyifatkan kehidupan perlu diteruskan, Amelina turut mengakui di balik senyum seorang selebriti terselit 1001 rasa.

Di Balik Idola bersiaran setiap Selasa, jam 11.00 malam di Astro Ria & Ria HD.

Foto: Instagram Amelina

 

 

 

IKLAN