Sekali Lafaz, Usop Sah Bergelar Suami Nur Fatihah – “Saya Ingin Jadi Suami Terbaik.”

Share

Naib juara program Mentor Milenia 2017 dan Big Stage 2020, Usop atau nama sebenarnya Muhamad Saiful Naim B. Mohd Noor 24, selamat mendirikan rumah tangga bersama gadis pilihannya, Nur Fatihah Md Hashim,25, hari ini dengan sekali lafaz.

Majlis akad nikah pasangan itu dilangsungkan secara tertutup di Kompleks Darul Hidayah, Permatang Tok Gelam, 13100 Penaga, Pulau Pinang yang telah disempurnakan oleh Penolong Pendaftar Nikah Butterworth, Pulau Pinang, Ustaz Haji Harun Idris dan 

berwalikan bapa pengantin perempuan, Md Hashim Nordin.

Dalam majlis pernikahan ini menyaksikan hantaran sembilan dulang dari pihak perempuan dan berbalas tujuh dulang dari pihak lelaki.

Mas mas kahwin sebanyak RM3,000.00 serta seutas gelang tangan. 

Usop Dan Nur Fatihah atau Teha mengikat tali pertunangan pada 4hb Nov 2021.

Majlis bagi pihak perempuan akan berlangsung pada malam ini  dan majlis resepsi  bagi pihak lelaki akan diadakan pada 13hb Feb 2022 di Kulim, Kedah.

Berkongsi mengenai perjalanan kisah cinta mereka, perkenalan Usop dan Teha sejak 2 tahun lalu dan diteruskan kepada ikatan pertunangan sebelum bergelar pasangan suami isteri.

Teha berkhidmat sebagai kakitangan bahagian pentadbiran di sebuah syarikat Pulau Pinang selain membuat kerja sampingan iaitu berniaga barangan kosmetik.

Menurut Usop, dia memohon doa yang baik-baik daripada semua dan agar mendoakan kebahagiaan mereka sehingga ke anak cucu.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua ahli keluarga kedua-dua belah pihak serta mereka yang terlibat dalam menjayakan majlis  ini.

“Walaupun usia saya boleh dikatakan masih muda, tapi saya harap dapat membimbing dan memegang tanggungjawab ini dengan sebaik mungkin.

“Saya ingin menjadi suami yang terbaik buat Fatihah. Ini adalah janji saya kepada keluarga bagi memastikan ikatan ini terus berkekalan,” katanya.

Menyentuh mengenai cahaya mata, penyanyi lagu Sejarah Cintaku ini percaya kepada rezeki.

“Soal zuriat saya dan isteri tidak terburu-buru sebaliknya saya serahkan kepada rezeki. Saya percaya masa yang tepat akan tiba.

“Tapi buat masa ini fokus kami berdua adalah untuk membina kehidupan sebagai suami isteri terlebih dahulu. Saya ingin melihat Fatihah bahagia bersama saya,” katanya.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Foto: @kakiklikphotography

IKLAN