Berita

“Sejak Dulu Sudah Terpisah…,” – Pertama Kali Sepentas Dengan Ameng, Azeva Sebak! TTMM2 Jadi Asbab Satukan Keluarga

Share

Penyanyi dan pelakon baharu, Azeva Natassha tidak dapat menahan sebak saat diberikan peluang untuk berkongsi pentas buat pertama kali bersama bapanya yang juga penyanyi, Ameng Spring di konsert minggu pertama Talk To My Manager musim ke-2 (TTMM2).

Malam tadi, Aveza menyampaikan antara lagu terawal di dalam kerjaya Ameng iaitu Sejiwa.

Menurut Azeva, dia menyifatkan momen tersebut sebagai antara detik paling manis di dalam hidup.

“Pertama kali buat persembahan bersama ayah sememangnya buat saya berasa sedih. Saya memang tak boleh fikir langsung.

“Sejak daripada dahulu, saya sudah terpisah dengan ayah. Kini, kami dapat berkongsi pentas pula. Saya jadi sangat sebak,” katanya kepada MH.

Sementara itu, pengurus kepada Azeva yang juga penerbit, Datuk A. Aida menjelaskan dia sebenarnya sudah lama merancang konsep persembahan ini bagi memperkenalkan anaknya itu kepada khalayak.

“Pada minggu pertama dan pengenalan ini, saya ingin perkenalkan Azeva sebagai anak kepada Ameng dan punyai kemahiran bermain gitar.

“Saya telah susun jalan cerita ini sebagai sebahagian daripada persembahan. Bila dapat tugasan minggu pengenalan, idea inilah yang terus terlintas di fikiran.

“Walau apapun yang berlaku, Ameng memang kena tolong anaknya ini,” ujarnya.

Azeva dan A. Aida berkata sedemikian ketika ditemui selepas berakhir konsert minggu pertama TTMM2 yang berlangsung di Auditorium MBSA, Shah Alam pada Ahad.

Dalam masa sama, Azeva turut memanjatkan rasa syukur apabila platform TTMM2 secara tidak langsung menjadi asbab untuk keluarganya bersatu semula.

“Papa sangat mudah untuk memberikan kerjasama. Dia sanggup luangkan masa untuk datang ke sesi rehearsal.

“Secara tidak langsung kami dapat berkumpul semula sebagai keluarga. Bila dapat melihat mama dan papa ada bersama, itu yang buatkan saya sebak.

“Mereka berpisah ketika saya berusia tiga tahun. Alhamdulillah, sekarang ini, Allah permudahkan hubungan saya dan papa.

“Kami jadi semakin baik. Saya sangat bersyukur kerana saya tak pernah merasai momen seperti ini sebelum ini,” katanya lagi.

Dalam masa sama, A. Aida turut memaklumkan hubungannya bersama Ameng sangat baik dan mereka tiada masalah untuk bekerjasama.

“Ikhlas saya katakan, saya dan Ameng memang tiada masalah. Dia ialah ayah kepada anak-anak saya. Nanti mereka nak berkahwin, dia tetap akan menjadi wali.

“Saya tiada masalah dan okay sahaja bersama Ameng. Selepas bercerai, inilah kali pertama saya dan Azeva berada satu pentas bersama Ameng. Tuhan pertemukan semula kami sekeluarga,” akhirinya.

Terdahulu, Ameng tampil membuat penampilan istimewa bersama Azeva dan ia nyata menyentuh hati banyak pihak.

TTMM2 dikendalikan oleh pengacara legenda Aznil Nawawi, bersama barisan juri iaitu Datuk AC Mizal dan Sarimah Ibrahim.

Setiap pasangan ‘pengurus-artis’ dinilai secara keseluruhan dengan pecahan 60 peratus untuk pengurus dan 40 peratus untuk artis di bawah seliaan masing-masing.

Saksikan konsert TTMM setiap Ahad, jam 9 malam di Astro Ria (saluran 104), bersiaran secara langsung dari Auditorium MBSA Shah Alam selain turut boleh distrim secara On Demand menerusi aplikasi Astro GO dan Sooka.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini

Published by
Aizam Manaf