Usahawan kosmetik sensasi, Datuk Seri Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida (DSV) mendedahkan dia terkejut selepas menerima saman untuk kehadirannya di mahkamah.

Vida menjelaskan, saman berkenaan diterima di rumahnya di Meru, Ipoh, Perak beberapa hari lalu selepas dimaklumkan pegawai yang menghantar dokumen itu mencarinya di beberapa premis termasuk di pejabat dan kediamannya, lapor Harian Metro.

Mengakui sibuk dengan urusan perniagaan, Vida berkata, sebaik mendapat makluman ada pegawai yang mencari bagi menyerahkan saman, beliau segera berhubung dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Sebenarnya saya agak terkejut menerima saman ini. Ia dihantar di rumah saya di Meru pada jam 4 pagi.

“Kebetulan saya baru pulang dari hospital, saya terkejut dan pada mulanya tidak mahu menerima saman itu.

“Mereka kemudian meninggalkan nombor telefon dan saya menghubungi semula sebelum dimaklumkan mereka akan menghantar saman berkenaan.

“Sebelum ini saya ada dipanggil untuk memberi keterangan mengenai video Muah Muah Raya, tapi tak sangka sebesar ini kerana saya tidak mempromosikan lagu itu,” katanya.

Penyanyi lagu Ku Ikhlaskan itu ditemui di luar perkarangan Kompleks Mahkamah Sepang pada Selasa.

Turut berada di sisinya ialah Cik B dan diwakili peguam Datuk Adnan Seman.

IKLAN

Ditanya mengapa dirinya tidak terus membuat pengakuan bersalah, Vida berkata, beliau tidak boleh sewenang-wenangnya membuat pengakuan salah tanpa mengetahui perkara dan kesalahan sebenar terlebih dahulu.

Tambah Vida, dia juga bimbang pengakuan salah yang dibuat tanpa mengetahui perkara sebenar akan memberikan impak besar kepada perjalanan bisnes yang diusahakan.

Justeru, dia menyerahkan kepada kebijaksanaan Adnan dan pasukannya untuk mengkaji dan mengambil tindakan sewajarnya termasuk memastikan beliau tidak perlu kerap ke mahkamah.

Dalam pada itu, Vida turut membayangkan tidak akan berhenti mengeluarkan klip video muzik di masa hadapan, meski sedang berdepan pertuduhan mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Malah, beliau menganggap pertuduhan itu peluang untuknya melihat perkara yang tidak boleh dilakukan serta tidak mengulanginya di masa depan.

“Kalau kita tahu benda mana kesalahan (yang dilakukan)… kita kena ‘clear’ (jelas) dan tidak akan buat benda yang sama. Saya akan lebih berhati-hati,” katanya.

IKLAN

Sementara itu, Adnan berkata, pihaknya akan meneliti dokumen lengkap berkaitan kes berkenaan yang akan diterima daripada pihak pendakwaan seperti yang diarahkan mahkamah, pada 7 Disember ini.

Katanya, ketika ini, beliau hanya mempunyai dokumen kertas pertuduhan yang dihantar kepadanya oleh Vida melalui aplikasi WhatsApp.

“Kita akan teliti dokumen dan akan lihat apa tindakan selanjutnya. Tapi hari ini, pada pihak kita, kami membuat pengakuan tidak bersalah buat masa ini,” katanya.

Pada masa sama, Adnan berkata, isu video yang dihasilkan mengandungi bahan yang dianggap sumbang atau sebaliknya bergantung kepada interpretasi seseorang.

Katanya, kes berkenaan memberi peluang kepada banyak pihak untuk mengetahui memahami peruntukan undang-undang dan kesannya.

IKLAN

“Kadang kala ramai yang tidak faham implikasi undang-undang terhadap setiap bahan yang dimuat naik melalui media sosial kerana kini ada bermacam-macam trend di aplikasi TikTok dan YouTube.

“Bagi sesetengah pihak melihat ia sumbang tetapi bagi sesetengah pihak ia adalah benda yang ‘trending’. Benda ini kita perlu jelas.

“Kita akan nasihatkan anak guam lebih kepada interpretasi undang-undang dan bukan soal ‘trending’,” katanya.

Terdahulu, Vida mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan terhadap satu pertuduhan memuat naik komunikasi bersifat sumbang pada Mei lalu, membabitkan video muzik Muah Muah Raya.

Vida membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.

Usahawan berusia 51 tahun itu didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang bersifat sumbang dengan niat menyakitkan hati orang lain, pada 29 April lalu melalui akaun YouTube DSV Entertainment.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Sumber: Harian Metro

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI