
PU Riz
Pendakwah bebas, Muhammad Haris Mohd Ismail atau lebih dikenali sebagai PU Riz mengajak masyarakat untuk hadir ke program Quranic Madani – Night Reset: Bersatu Dalam Saf yang bakal berlangsung hari ini (Jumaat) di hadapan Pavilion Kuala Lumpur.
Program yang dianjurkan secara percuma itu bertujuan menyemarakkan budaya membaca, memahami dan mencintai al-Quran dalam kalangan masyarakat tanpa mengira usia, jelas PU Riz
“Insya-Allah, kita pada Jumaat ini bakal mengadakan majlis al-Quran iaitu Quranic Madani supaya kita dapat menghimpunkan seramai mungkin masyarakat untuk bersama membaca dan memahami al-Quran.
“Program ini juga terbuka secara percuma kepada semua,” kata PU Riz.
PU Riz menambah, antara fokus utama program tersebut adalah memberi pendedahan awal kepada kanak-kanak berusia antara tiga hingga sembilan tahun untuk mula menghafal al-Quran menerusi Juzuk 30.
“Kita mahu memberi peluang kepada anak-anak kecil bermula umur tiga hingga sembilan tahun untuk mula menghafal al-Quran bermula dengan Juzuk 30.
“Tujuan utama program ini adalah untuk melahirkan masyarakat yang dekat dengan al-Quran kerana sebaik-baik manusia ialah mereka yang belajar Al-Quran dan mengajarkannya,” katanya sambil memetik hadis Nabi Muhammad SAW, Khairukum man ta’allamal Quran wa ‘allamahu.
Baca Artikel Lain;
Dalam masa sama, PU Riz turut menyeru orang ramai agar hadir memeriahkan program yang dijadual berlangsung pada jam 8.30 malam itu.
“Mari sama-sama hadir pada jam 8.30 malam di hadapan Pavilion Bukit Bintang. Kita duduk bersama membaca al-Quran dan menghayati kalam Allah.
“Semoga Allah SWT memberikan keberkatan kepada negara kita dengan mengangkat al-Quran melalui Quranic Madani. Jumpa anda di sana,” ujarnya.
Program berkenaan dijangka menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat dalam usaha memperkukuhkan kefahaman serta kecintaan terhadap al-Quran di tengah kesibukan kehidupan moden di bandar raya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini