
Pelakon dan usahawan, Datin Intan Najuwa tampil menyuarakan rasa kurang senang terhadap sikap segelintir pihak yang kurang senang dengan perkembangan perniagaannya hanya kerana menganggap dirinya sudah hidup dalam kemewahan.
Menurut Intan, perniagaan yang diusahakannya bukan sekadar memberi manfaat kepada dirinya sendiri semata, tetapi ia turut menjadi sumber rezeki buat kakitangan serta pekerja lain.
“Saya buka kedai kopi pakai modal. Ia bukan tentang saya sahaja. Para pekerja saya juga ada keluarga untuk disara.
“Malah, beberapa pekerja separuh masa saya juga memang bergantung kepada pekerjaan ini untuk membiayai pembelajaran mereka.”
Perkongsian itu dibuat menerusi satu hantaran di Instagram Stories miliknya.
Dalam pada itu, Intan meluahkan rasa syukur apabila perniagaan kedai kopi yang diusahakannya bukan sahaja berkembang, malah berjaya membuka peluang pekerjaan kepada ramai individu.
“Dalam tak sedar, sebab buka kedai kopi inilah, alhamdulillah saya dapat bagi peluang pekerjaan kepada ramai orang.
“Janganlah dengki bila nampak orang lain support bisnes kita.”
Pada masa sama, Intan turut menyeru orang ramai agar sentiasa mendoakan kejayaan dan rezeki semua peniaga tanpa mengira sama ada mereka baru memulakan perniagaan atau sudah mencapai kejayaan.
“Lebih baik kita doakan semua peniaga-peniaga, tak kisah peniaga kecil atau peniaga yang berjaya agar sentiasa dimurahkan rezeki.
“Bila kita doakan perkara yang baik kepada orang lain, hal-hal yang baik dan rezeki pasti akan berbalik kepada anda juga.”
Terdahulu, seorang individu mempersoalkan tindakan segelintir pihak yang sanggup beratur dan berlumba-lumba membeli kopi keluaran Intan dengan alasan pelakon itu sudah hidup mewah, selain berpendapat lebih baik sokongan diberikan kepada peniaga kecil.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini
Sumber & Kredit Foto: Instagram Intan Najuwa