Berita

“Saya Tidak Sibuk Merakam Video, Ambil Gambar Setiap Detik…,” – Jarang Kongsi Perihal Anak-Anak Di Media Sosial? Ini Reaksi Bekas Isteri Fazley Yaakob

Share

Bekas isteri kepada penyanyi dan chef selebriti, Datuk Fazley Yaakob, iaitu Azrene Ahmad tampil meluahkan rasa terkilan apabila masih ada segelintir pihak yang mempersoalkan dirinya yang jarang berkongsi mengenai anak-anak di media sosial.

Menurut Azrene, sebagai ibu, dia berhak menentukan sendiri cara untuk meluangkan masa bersama anak-anak tanpa perlu membuktikannya kepada orang ramai menerusi perkongsian di platform media sosial.

Perkara tersebut dikongsikan Azrene menerusi satu hantaran yang dimuat naik di Instagram.

Pilih Simpan Kehidupan Anak-Anak Secara Peribadi

“Laa tak tahu pula sejak bercerai, ibu-ibu yang berkongsi hak jagaan anak-anak kena kongsi gambar dan video setiap hari supaya bergelar ‘mak terpaling’. Kenapa tak cakap?

“Mari saya kongsikan sedikit. Saya tidak lagi hidup dalam pandangan umum. Apa yang saya lakukan dengan masa saya sendiri atau bagaimana cara saya meluangkannya, ia bukan urusan orang lain.

“Saya tidak berhutang apa-apa kepada pihak umum. Melainkan saya yang mahu berkongsi,” tulisnya.

Dalam pada itu, Azrene menegaskan dia tidak pernah menjadikan anak-anak sebagai kandungan di media sosial meskipun mereka merupakan insan paling penting dalam hidupnya.

“Anak-anak saya adalah seluruh hidup saya, paksi yang memutar dunia saya.

“Sejak mengetahui saya bakal bergelar ibu kepada setiap seorang daripada mereka, saya tidak pernah memberi tumpuan untuk menjadikan mereka sebagai kandungan di media sosial.

“Saya memilih untuk menyimpan dunia saya bersama mereka sebagai sesuatu yang peribadi, kecuali sesekali berkongsi dengan orang ramai,” luahnya lagi.

Baca Artikel Lain;

https://www.mediahiburan.my/mereka-tak-perlu-menderita-fazley-yaakob-azrene-utamakan-anak-anak-hubungan-keluarga-tak-kan-berubah/

Utamakan Masa Berkualiti Bersama Permata Hati

Dalam pada itu, Azrene turut menjelaskan setiap kali bersama anak-anak, dia lebih mengutamakan kehadiran dan masa berkualiti berbanding sibuk merakam setiap detik untuk dikongsikan kepada umum.

“Apabila bersama mereka, saya benar-benar hadir dan meluangkan masa yang berkualiti.

“Saya tidak sibuk merakam video atau mengambil gambar setiap detik bersama mereka semata-mata untuk dijadikan kandungan tatapan umum,” kongsinya lagi.

Menurut Azrene, kenangan paling bermakna bersama anak-anak bukanlah yang dipaparkan di media sosial, sebaliknya yang kekal terpahat di dalam ingatan dan hati.

“Saya juga tidak meminta orang lain bersedia untuk merakam kandungan yang memaparkan saya sebagai seorang ibu.

“Saya terlalu sibuk memberi sepenuh perhatian kepada peranan saya sebagai seorang ibu. Hanya itu.

“Sebagai seorang ibu, saya mahu mengumpul kenangan yang berkekalan bersama anak-anak saya di dalam fikiran dan hati saya.

“Yang ada otak, boleh fikir sendiri. Yang mana otak ada dekat lutut, saya tak boleh tolong anda melainkan cara sebegini,” akhirinya.

Untuk rekod, Azrene dan Fazley mendirikan rumah tangga pada tahun 2006 dan dikurniakan empat cahaya mata iaitu Ahmad Fariedz Shah, Ahmad Fieradz Shah, Ahmad Fierudz Shah serta Alayna Selma.

Pasangan itu sah bercerai pada Oktober 2024 selepas Fazley memfailkan permohonan perceraian beberapa bulan sebelum itu.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini

Published by
Aizam Manaf