
Pelakon dan pengacara, Che Puan Sarimah Ibrahim tidak menyangka watak Eva yang dibawakannya dalam drama Bila Cinta Menjadi Dosa mampu memberi kesan mendalam kepada penonton.
Menurut Sarimah, impak daripada watak tersebut menyebabkan dia kerap menerima mesej di media sosial daripada individu yang sudah berbelas tahun menjadi wanita simpanan atau penyondol.
Malah ada yang turut berkongsi pengalaman hidup yang hampir serupa dengan watak yang dibawakannya itu.

“Saya tak sangka ramai individu yang berbelas tahun menjadi perempuan simpanan atau penyondol mesej saya di media sosial. Mereka kata, mereka pernah berhadapan dengan situasi yang sama seperti watak saya itu.
“Saya agak terkejut juga. Adakah lakonan saya ini sebenarnya mewakili mereka? Bila difikirkan semula, itu adalah kerja kita sebagai pelakon.
“Kita memang perlu menghayati watak sama ada baik atau jahat.
“Bila saya bersetuju membawakan watak ini, saya tidak boleh berkata tidak kepada pengarah. Namun, ini bukanlah menggambarkan kehidupan Eva secara keseluruhan.
“Eva bukan penyondol sahaja. Dia juga seorang ibu dan usahawan. Jadi, kita kena lihat segala aspek. Saya buat research yang ‘gila’ untuk watak ini,” katanya kepada MH.
Sarimah berkata demikian ketika ditemui di majlis sidang media program, Talk To My Manager (TTMM) musim ke-2, baru-baru ini.

Kupasan Psikologi & Pengalaman Dua Dekad
Dalam pada itu, Sarimah menjelaskan watak Eva menuntutnya melakukan penghayatan yang lebih mendalam, khususnya dari sudut psikologi, agar tidak tampil sebagai watak ‘penyondol’ yang klise dan membosankan.

“Dari segi psikologi, saya kena memahami apa yang memotivasikan seseorang itu untuk cuba menyondol suami atau isteri orang. Di manakah letaknya maruah dan motivasi mereka?
“Itulah yang saya cuba sampaikan di dalam watak ini. Watak ini bukan setakat menyondol sahaja,” ujarnya lagi.
Pada masa sama, juri tetap program TTMM2 itu turut mengakui teruja apabila lakonannya menerima pujian daripada pelbagai pihak.
Sarimah percaya keupayaannya membawakan watak tersebut dengan berkesan adalah hasil pengalaman lebih dua dekad dalam industri.

“Alhamdulillah, tak sangka drama ini boleh menjadi fenomena seperti sekarang. Ini membuktikan barisan pelakon yang lebih berumur pun mampu untuk menjadikan drama tersebut nombor satu.
“Usia tidak pernah menjadi penghalang untuk menunjukkan bakat. Bakat akan lebih menonjol dan menyerlah bila kita berusia kerana kita punyai banyak pengalaman.
“Bila saya ditawarkan berlakon pada usia sekarang, ada banyak perkara menarik yang ingin saya tunjukkan.
“Ketika muda dahulu, kita mungkin ada satu atau dua cara sahaja teknik lakonan. Kini, kita ada senjata yang lebih ampuh,” akhirinya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




