
Pelakon Ezzanie Jazny mengakui kini lebih terbuka untuk menerima kehadiran insan baharu dalam hidup selepas beberapa tahun menjalani kehidupan sebagai wanita solo.
Namun, pengalaman hidup berdikari membuatkan dia lebih mengenali diri sendiri serta mempunyai gambaran jelas mengenai ciri-ciri pasangan yang diimpikan.
“Saya sudah hidup single sejak beberapa tahun lepas. Jadi, pada usia 27 tahun ini, bila ada orang baharu yang datang di dalam hidup kita, saya akan beri peluang.
“Namun, ada kalanya ia agak susah juga. Bila sudah lama hidup secara independent, kita sudah tahu apa yang kita mahukan.
“Kalau ada ternampak sesuatu yang tidak kena, terus kita kata ‘cuba lagi nanti’,” katanya kepada MH.
Pelakon drama Dia Bukan Syurga itu berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Astro Fandom, baru-baru ini.
Dalam masa sama, Ezzanie menjelaskan dia bukan seorang yang terlalu tegas atau memilih.
Sebaliknya, dia berharap dipertemukan dengan lelaki yang matang dan memahami tanggungjawab dalam sesebuah hubungan.
“Saya tidaklah terlalu ‘rigid’ atau memilih. Saya mahukan seseorang yang saya tak perlu nak bagitahu apa yang perlu dia buat sebagai seorang lelaki.
“Saya harap orang itu boleh faham diri kita. Kita pun tak nak membebankan pasangan.
“Dalam dunia sekarang, bagi seorang perempuan, kita tak perlu nak mencari orang yang kita pula kena ajar dia untuk menjadi seperti mana yang kita inginkan,” kongsinya lagi.
Mengulas gosip yang mengaitkannya dengan pelakon Lorenzo Irmann, Ezzanie menganggap perkara itu sebagai lumrah dalam dunia lakonan, apatah lagi drama Neraka Yang Terhijab lakonan mereka mendapat sambutan penonton.
“Pada saya, khabar angin seperti itu memang normal. Ia sebuah drama ringan yang angkat tentang percintaan. Lorenzo seorang lelaki dan kawan yang baik.
“Kami berdua banyak repost video-video suntingan daripada peminat. Itu bermakna karya kami menjadi. Ini kali pertama saya digosipkan dengan hero.
“Sebelum ini, kebanyakkan hero-hero saya sama ada mereka sudah berkahwin atau punyai teman wanita. Lorenzo sahaja yang solo.
“Ini juga pengalaman pertama buat saya untuk digosipkan sebegini,” ujarnya lagi.
Bagaimanapun, Ezzanie menegaskan hubungan mereka tidak lebih daripada sekadar rakan sekerja.
“Kami memang tiada apa-apa. Hubungan kami sangat profesional. Rasanya anda tak pernah dengar gosip-gosip cinta mengenai saya,” akhirinya.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.