
Penyanyi Irfan Haris tampil menjelaskan ketiadaan rakan duet yang juga kakaknya, Amira Othman, ketika mempersembahkan lagu Rasa & Takdir di pentas Separuh Akhir Anugerah Juara Lagu 40 (AJL40), Jumaat lalu.
Menurut Irfan, kakaknya itu terpaksa menarik diri kerana keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan untuk membuat persembahan.
Disebabkan perkara tersebut, tempat Amira telah digantikan oleh penyanyi remaja, Umairah.
“Kakak saya tak dapat nak buat persembahan disebabkan faktor kesihatan. Dia tidak cukup cergas untuk beraksi di atas pentas.
“Saya pun tidak mahu memaksa kerana soal kesihatan ini sentiasa menjadi keutamaan.
“Jadi, kami putuskan untuk mencari pengganti. Kami tak mahu menarik diri. Sayang nak lepaskan peluang seperti ini. Sepanjang 10 tahun bergelar penyanyi, sekali pun saya tak pernah lepas peringkat separuh akhir AJL,” katanya kepada MH.
Irfan berkata demikian ketika ditemui selepas membuat persembahan pada hari pertama separuh akhir AJL40 yang di Glenmarie pada Jumaat.
Jelas Irfan lagi, Umairah dipilih sebagai pengganti atas cadangan Amira sendiri yang yakin dengan kemampuan vokalnya.
Tambahnya, usaha mencari pengganti bukanlah sesuatu yang mudah memandangkan ramai penyanyi tidak dapat memberikan komitmen pada saat akhir.
“Kakak saya pun bantu mencari penyanyi. Dia ada bertanya kepada rakan-rakannya tapi mereka tidak boleh nak berikan komitmen. Alhamdulillah kita jumpa Umai sebagai pengganti.
“Pada mulanya, saya memujuk juga kakak untuk menyanyi tapi takdir telah pun tersusun. Saya percaya dengan bakat Umai dan sangat berpuas hati dengan persembahannya malam tadi,” kongsinya lagi.
Dalam masa sama, Umairah mengakui dia tidak menyangka akan dipilih untuk menggantikan Amira, malah merasakan dirinya masih terlalu muda untuk beraksi di pentas separuh akhir AJL.
“Ketika itu, saya baru balik daripada sekolah. Bila tengok telefon, saya nampak DM daripada Kak Amira. Dia bertanya, boleh ke saya tolong dia? Saya rasa seperti mimpi pula.
“Saya terus bagitahu ibu Rozi (pengurus) dan mereka pun menyusun jadual persekolahan saya. Alhamdulillah, saya dapat bantu.
“Perasaan saya sudah tentulah terkejut. Saya rasa seperti sangat awal untuk beraksi di pentas ini. Mungkin ini memang rezeki buat saya. Terima kasih Kak Amira dan Abang Irfan kerana percayakan saya,” katanya.
Dalam pada itu, Umairah yang juga anak saudara kepada Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, turut mengakui berasa selesa bekerjasama dengan Irfan walaupun tempoh persediaan yang singkat.
“Sejujurnya, saya merasakan tempoh persediaan itu tidak mencukupi. Nak cipta keserasian itu bukanlah mudah. Namun, alhamdulillah saya rasa sangat mudah untuk bekerjasama dengan Abang Irfan.
“Masing-masing memberikan kepercayaan dan alhamdulillah persembahan berjalan lancar,” akhirinya.
Pada pentas separuh akhir pertama AJL40, sebanyak 12 lagu telah dipersembahkan, manakala lapan buah lagu lagi telah dipertandingkan pada semalam.
10 buah lagu terbaik juga turut diumumkan secara rasmi malam tadi bagi merebut gelaran juara utama di malam kemuncak AJL40 tidak lama lagi.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini