Menjadikan kisah hidupnya sebagai inspirasi membuatkan pelakon Puteri Balqis berasa terpanggil untuk menuliskan surat terbuka buat anak kepada pasangan selebriti Fattah Amin dan Nur Fazura iaitu Nur Fatima Aisya, baru-baru ini.
Menurut Puteri, dia sebenarnya tidak mahu Fatima melalui pengalaman sama sepertinya sehingga boleh menjejaskan tahap mental kerana dugaan keluarga yang berpisah.
“Ya, nukilan tersebut berkait rapat dengan kisah saya. Saya sudah lalui pelbagai perkara. Saya tak nak Fatima juga jadi hancur.
“Fatima dilahirkan di dalam keluarga yang sangat menyayanginya. Ibu dan ayahnya sangat sayang pada dia.
“Saya tiada hak nak bercakap apa-apa. Itu hanya perspektif sebagai seorang anak,” katanya ketika ditemui majlis pelancaran drama Unifi TV Originals berjudul Sebelum Titik Noktah, baru-baru ini.
Pada masa sama, Balqis percaya Fazura sudah berfikir panjang sebelum membuat keputusan untuk berpisah dengan suami yang sudah pastinya akan memberikan kesan buat hidup anaknya itu.
“Saya hanya berikan perspektif saya menerusi penulisan itu sebagai seorang anak kepada seorang anak. Itu sahaja.
“Tiada apa yang perlu diperjelaskan. Fazura adalah seorang ibu. Ada ramai ibu di luar sana yang sangat mengambil berat tentang anak-anak.
“Ibu yang sayangkan anak tidak akan sesekali mahu menghancurkan anak mereka. Ibu yang baik tidak akan buat begitu.
“Bila dia balas nukilan itu, saya tahu jauh di sudut hatinya dia sedang sakit,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Balqis akui tersentuh dengan sokongan yang ditunjukkan oleh Fazura dikala ibunya teruk menjadi mangsa kecaman netizen, baru-baru ini.
“Dia juga anak kepada seorang ibu dan sudah pasti dia faham perasaan seorang anak yang nak pertahankan keluarga.
“Sebelum ini, saya tidak pernah dapat peluang untuk melindungi ibu saya sendiri. Kini saya cuba sehabis baik untuk memperbaiki hal sebegitu,” ujarnya.
Balqis memang mengakui sentiasa terkesan dengan pelbagai kisah dalam masyarakat terutamanya membabitkan ibu dan anak.
“Saya memang mudah terkesan bila baca mengenai kisah ibu dan anak. Saya merasakan perasaan yang sama.
“Jiwa saya banyak sangat ke arah kesedihan tetapi bukanlah yang jenis berkurung semua itu.
“Saya tidak suka kongsikan perasan saya dan sebab itu saya luahkan dalam penulisan puisi saya. Saya cuma kongsi kepada orang terdekat sahaja,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Balqis bakal muncul dalam drama bergenre fiksyen dan thriller iaitu Sebelum Titik Noktah yang ditayangkan bermula 11 November, setiap Isnin jam 11 malam menerusi Saluran 120 di Unifi TV.
Drama terbabit turut dibintangi Aiman Hakim Ridza, Noki, Danny X-Factor, Shabby, Mathni Razak dan Alif Muhaimin.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan di sini.
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI