Berita

“Saya Tak Guna Suara Untuk Kutuk, Hentam Orang,” – Amelina Sedih Bila Ada Yang Pertikai Cara Anak Seni Cari Rezeki, Syukur Bakat Jadi Penyanyi

Share

Penyanyi Amelina terkilan dengan sikap segelintir pihak sering mempertikaikan rezeki yang diraih oleh anak seni selain menyifatkan ia sebagai hasil yang tidak berkat.

Menurut Amelina, setiap bakat dan peluang yang dimiliki seseorang sebenarnya datang daripada ketentuan Allah SWT, justeru tidak wajar untuk mana-mana pihak mempersoalkan perkara tersebut.

“Bila kita mempertikaikan rezeki dan bakat orang, itu bermakna kamu mempertikaikan kelebihan Allah SWT. Ini semua datang daripada Dia.

“Ambil contoh, ada orang yang pandai menyanyi tapi namanya agak sendu. Itu bermakna rezekinya tiada di situ.

“Seperti saya sendiri, sewaktu mula-mula menyanyi, saya bukanlah sesiapa. Malah, saya rasa lagu saya juga biasa sahaja. Namun, kalau Allah berkata jadilah, maka ia akan terjadi.

“Selama 15 tahun berehat, saya berdoa agar Allah tunjukkan jalan rezeki buat saya dan anak-anak. Allah bukakan jalan menerusi lagu-lagu yang saya menyanyi dahulu. Kerana inilah saya dapat bertahan menjadi ibu,” katanya sebak.

Penyanyi lagu Rindu itu berkata sedemikian ketika ditemui di majlis rumah terbuka anjuran Rusa Music dan MVM di Courtyard by Marriott, Kuala Lumpur pada Isnin.

Amelina berkongsi pandangan tersebut selepas diminta mengulas mengenai teguran kasar daripada seorang pempengaruh media sosial yang sering mempersoalkan tindak tanduk anak seni.

Jangan Rendahkan Orang Lain

Jelas ibu kepada enam orang cahaya mata ini lagi, dia sebenarnya terbuka untuk menerima teguran namun, janganlah sampai merendahkan cara orang lain mencari rezeki.

“Dahulu saya suka dengar perkongsian daripada dia berkaitan diet. Bila dia memberikan pandangan secara keterlaluan, sebagai artis kita pun terasa.

“Sebenarnya bukan dia sahaja yang menegur, orang terdekat juga ada yang tegur. Namun, kenapa kita perlu pertikaikan rezeki yang Allah berikan kepada orang lain.

“Berkaitan halal dan haram ini, jangan kita pandang secara luaran sahaja. Sebenarnya, saya bersyukur menjadi seorang penyanyi.

“Saya mencari rezeki menggunakan suara. Saya bukan guna suara untuk mengata, mengutuk atau menghentam orang lain. Saya menyanyi untuk hiburkan orang,” ujarnya.

Dalam pada itu, Amelina berkata, dia juga tidak gemar mencampuri urusan orang lain dan memilih untuk tidak melayan perkara yang boleh menimbulkan konflik.

“Saya sejenis yang tak campur dengan hal orang lain. Jika ada orang yang menyampai kepada saya, saya akan masuk telinga kanan, keluar telinga kiri.

“Sekarang bukan seperti zaman dahulu lagi untuk kita saling bergaduh atau memerli. Saya dalam industri ini hanya nak mencari duit.

“Kalau nak diingati kerana gosip dan kontroversi, rasanya sudah tidak sesuai,” akhirinya.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini

Published by
Aizam Manaf