“Saya Tak Boleh Nak Payung…,” – Ramai Minta Bantuan Selesaikan Masalah Dengan ‘Ah Long’, Adam Corrie Nasihat Hidup Ikut Kemampuan

Share

Pelakon, Adam Corrie mendedahkan dirinya sering kali menerima mesej daripada individu yang meminta bantuannya untuk menyelesaikan masalah akibat terjerat dengan sindiket ‘ah long’ atau dikejar pihak bank kerana tidak membayar hutang.

Menurut Corrie, sebagai selebriti biasa, kesemua perkara tersebut adalah diluar kemampuannya.

“Saya bukan ah long. Saya juga tak boleh tolong kalau sahabat ada masalah dengan ah long. Saya artis biasa sahaja.

“Setiap hari saya terima PM minta tolong dari segi kewangan, kena kejar dengan ah long, kena kejar bank sebab tak bayar hutang dan macam-macam lagi.

“Saya tak boleh nak payung dan tolong yang di luar kemampuan saya,” tulisnya.

Perkara tersebut dikongsikan sendiri oleh pelakon filem KL Gangster itu menerusi sebuah hantaran di laman Instagram.

Jelas Corrie lagi, meskipun tidak dapat memberikan bantuan daripada sudut kewangan, namun, dia tetap akan memberikan bantuan dengan berkongsi nombor telefon atau laman web pihak berwajib bagi rujukan individu berkenaan.

“Saya hanya akan berikan link no telefon atau link web site pihak berwajib untuk tuan puan hubungi minta bantuan.

“Saya doakan tuan puan semua selalu dilindungi Allah SWT dari segala keburukan dan mara bahaya,” kongsinya lagi.

Pada masa sama, Corrie turut menyeru kepada semua pihak untuk menjalani rutin hidup secara bersederhana asal tidak menyusahkan diri sendiri di kemudian hari.

“InsyaAllah. Qanaah asal punya rasa cukup. Hidup ini pasti indah. Senyum selalu. Selalu bersangka baik. InsyaAllah hati tenang,” ujarnya lagi.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini

.

Sumber & Kredit Foto: Instagram Adam Corrie

 

IKLAN