
Penyanyi dan pelakon, Bella Astillah menegaskan adiknya yang juga pelakon, Didi Astillah, tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai dakwaan dia dan ahli politik, Syed Saddiq bakal mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat seperti yang didakwa, sebelum ini.
Menurut Bella, kenyataan tersebut mungkin sudah disalah tafsir oleh segelintir pihak berdasarkan komen-komen yang diberikan di media sosial.

“Saya sendiri pun terkejut kerana adik saya, Didi Astillah tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan. Dia memang suka membalas komen-komen netizen dan tak sangka pula ia akan menjadi headline.
“Saya memohon maaf jika ada pihak yang terasa atau ‘triggered’ dengan perkara tersebut. Apa yang saya tahu, hal ini sudah disalah tafsir berdasarkan balasan komen.
“Tiada siapa pun yang memberikan kenyataan. Itu sahaja daripada saya,” katanya kepada MH.
Penyanyi lagu Lebih Indah Berpisah itu berkata sedemikian ketika ditemui di majlis sidang media program Muzikal Lawak Superstar 2025 (MLS2025) yang berlangsung di Restoran Saloma, Kuala Lumpur pada Selasa.
Pada acara tersebut juga, Bella diumumkan sebagai salah seorang juri tetap MLS2025 bersama pengacara terkenal, Datuk Aznil Hj. Nawawi dan pelawak popular, Zizan Razak.

Ketika ramai yang mengharapkan Bella dan Syed Saddiq mengikut jejak langkah pengantin baru, Fattah Amin dan Amira Othman, ibu kepada dua orang cahaya mata itu bagaimanapun memohon orang ramai untuk menitipkan doa yang baik-baik.
“Saya berada di sini hari ini untuk program MLS2025. Jadi, saya ingin mengormati acara pada hari ini.
“Bercakap mengenai perkara itu, saya mohon doa yang baik-baik,” ujarnya lagi.
Lebih Terbuka Kongsi Momen Berdua
Sementara itu, Bella turut mengulas dakwaan bahawa dia kini dilihat lebih terbuka berkongsi momen romantis bersama Syed Saddiq menerusi media sosial.

“Nak kata tak kisah pun tak boleh juga. Apa yang dikongsikan di media sosial itu rata-ratanya adalah urusan kerja.
“Saya ingin berterima kasih kepada sebuah jenama pakaian sempena projek promosi Hari Raya. Selebihnya, doakan sahaja yang baik-baik,” katanya lagi.
Bercakap mengenai jadual kerja yang padat, Bella tetap bersyukur dengan rezeki yang diterima namun menegaskan masa bersama keluarga tetap menjadi keutamaannya.

“Jadual saya memang sangat sibuk tapi pada saya, sibuk itu bagus. Saya masih boleh menguruskan dengan baik dan punyai waktu untuk bersama dengan anak-anak.
“Saya pula baru balik bercuti daripada Perancis. Segalanya bergantung kepada diri kita sendiri.
“Saya juga bersyukur kerana dikurniakan keluarga yang sentiasa menyokong dan memudahkan saya untuk menyusun jadual dengan lebih baik,” akhirinya.
Sebelum ini, seorang peminat menyatakan hasrat untuk mendaki Gunung Kinabalu sekiranya Bella dan Syed Saddiq mendirikan rumah tangga.
Hal tersebut mendapat perhatian ramai termasuklah daripada Didi yang berseloroh agar peminat itu mula berlatih, seolah-olah memberi petanda bahawa pasangan tersebut bakal berkahwin dalam masa terdekat.
Disebabkan gurauan itu, ramai peminat teruja dan mula membuat spekulasi sendiri.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




