
Pelakon dan penyanyi, Fattah Amin menyifatkan kemenangannya sebagai Artis Kontroversi Popular di Anugerah Bintang Popular ke-37 (ABP37), baru-baru ini bukanlah membawa maksud yang negatif.
Sebaliknya, ia adalah hasil usaha peminat yang giat mengundinya dalam apa sahaja kategori yang dicalonkan.
Menurut Fattah, sepanjang bergelar anak seni, dia tidak pernah mengejar isu sensasi atau kontroversi kerana lebih selesa memberikan sepenuh tumpuan terhadap kerjaya seni yang dibina.

“Saya ada bertanya kepada pihak penganjur mengenai kategori itu. Kata mereka, sebelum ini anugerah seperti itu sudah ada tapi namanya Anugerah Artis Sensasi Popular. Jadi, nama anugerah itu baru sahaja ditukar.
“Saya pun tertanya-tanya, adakah saya ini artis yang suka cari kontroversi? Tapi peminat-peminat kenal yang saya ini bukan seorang yang nak cari kontroversi.
“Namun, segalanya berbalik kepada rezeki. Kita tahu anugerah ABP ini adalah hasil daripada undian peminat. Mungkin peminat teruja melihat saya tercalon dalam kategori ini jadi, mereka pun undi. Maka menanglah saya,” katanya kepada MH.
Pelakon filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah itu berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media ABP37 yang berlangsung di Premiera Hotel, Kuala Lumpur, pada Jumaat.
Tercalon Pun Sudah Rezeki
Ditanya sama ada dia selesa dengan gelaran Artis Kontroversi Popular, Fattah menjelaskan dia memilih untuk melihat pengiktirafan tersebut dari sudut yang positif.

“Saya bukanlah artis yang suka cari kontroversi. Pada saya, untuk anugerah seperti ini, tercalon pun sudah jadi satu rezeki. Menang juga rezeki. Kategori apa sekali pun, memang inilah konsep ABP.
“Ia hasil daripada undian peminat. Apa sahaja kategori yang dicalonkan, kita sebagai anak seni perlu melihatnya sebagai pembakar semangat untuk teruskan usaha.
“Yang tercalon juga semuanya hebat-hebat belaka. Saya selalu mendoakan yang terbaik buat rakan-rakan artis,” ujarnya lagi.
Tumpang Gembira Rezeki Ernie
Dalam masa sama, Fattah turut meluahkan rasa gembira apabila rakan artisnya, Ernie Zakri dinobatkan sebagai pemenang Bintang Paling Popular ABP37, meskipun namanya turut disebut-sebut sebagai antara pencabar terdekat.

“Pada saya, ABP ini memang tak dapat nak dijangka. Kita memang tahu peminat mengundi tapi kita tak tahu peminat artis lain pula bagaimana.
“Dalam senarai top 5 itu, saya nampak semuanya miliki kumpulan peminat yang hebat. Pada saya, malam ini adalah rezeki Erni dan peminat-peminatnya.
“Saya juga turut tumpang gembira dan berbangga. Ernie dan Syamel pula memang selalu mengusik saya dan Amira dahulu. Yang menang kawan-kawan kita juga,” kongsinya lagi.
Sementara itu, Fattah juga tidak menolak kemungkinan kemenangannya di ABP37 turut dibantu oleh gabungan peminat isterinya, Amira Othman.

“Ya, memang itulah yang berlaku. Peminat saya dan Amira bergabung dan mengundi bersama. Alhamdulillah, saya menang malam ini pun disebabkan gabungan peminat saya dan Amira,” akhirinya.
Terdahulu, selain memenangi anugerah Artis Kontroversi Popular, Fattah juga turut dinobatkan sebagai pemenang bagi anugerah Pelakon Filem Popular.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




