
Pelakon dan usahawan, Nur Nilam Ortiz tampil memberikan penjelasan berhubung pelbagai spekulasi yang tular mengenai status hubungannya dengan bekas suami, Azlan Komeng.
Ia susulan kedua-duanya yang dilihat masih berinteraksi rapat menerusi beberapa sesi siaran langsung di media sosial, kebelakangan ini khususnya menerusi kebanyakan sesi siaran langsung yang dikendalikan Nilam di TikTok.
Selain dakwaan telah kembali rujuk, terdapat juga tuduhan yang mendakwa kedua-duanya masih tinggal bersama selepas perceraian.
Mengulas perkara tersebut, Nilam menegaskan segala dakwaan yang berlegar hanyalah spekulasi yang tidak berasaskan fakta.
“Saya melihat tuduhan tersebut sebagai sesuatu yang tidak berasas. Walaupun kami telah bercerai, Azlan masih merupakan rakan perniagaan saya dan mempunyai tanggungjawab tertentu dalam operasi Nilam Empire.
“Kehadirannya dalam sesi siaran langsung adalah atas kapasiti profesional serta berkaitan urusan perniagaan,” katanya.
Menurut Nilam, hubungan baik yang masih terjalin antara mereka turut didorong oleh komitmen bersama dalam membesarkan dua cahaya mata iaitu seorang anak kandung hasil perkahwinannya bersama Azlan dan seorang lagi anak lelaki daripada perkahwinannya yang terdahulu.
Malah, kedua-dua anak itu sememangnya rapat dengan Azlan.
“Azlan sentiasa berusaha meluangkan masa bersama anak-anak dan saya tidak pernah menghalang perkara itu. Dia tetap ayah kepada anak-anak kami.
“Saya percaya perceraian bukan alasan untuk memutuskan hubungan kekeluargaan atau mewujudkan permusuhan antara dua individu yang pernah berkongsi kehidupan bersama,” jelasnya.
Sebagai seorang usahawan yang menguruskan empayar perniagaan yang semakin berkembang, Nilam turut menegaskan, dia sentiasa cuba bezakan urusan peribadi dan profesional secara matang serta strategik.
“Saya mempunyai pendekatan dan strategi tersendiri dalam menguruskan kehidupan peribadi serta perniagaan.
“Fokus utama saya ketika ini adalah memastikan Nilam Empire terus berkembang dan memberikan produk berkualiti tinggi kepada pengguna,” tambahnya lagi.
Baca Artikel Lain;
Dalam perkembangan lain, Nilam memaklumkan produk-produk keluaran Nilam Empire terus menerima sambutan memberangsangkan daripada pengguna hasil komitmen berterusan syarikat dalam meningkatkan standard kualiti dan inovasi.
“Sejak awal penubuhan, saya sentiasa merancang beberapa langkah ke hadapan. Setiap produk yang dikeluarkan melalui proses pembangunan yang teliti bagi memastikan ia memenuhi piawaian premium yang menjadi identiti Nilam Empire,” katanya.
Pada masa sama, Nilam turut mengulas mengenai isu lambakan produk tiruan yang semakin membimbangkan dalam industri kesihatan dan kecantikan, sambil mengakui jenamanya juga tidak terkecuali menjadi sasaran pihak tidak bertanggungjawab.
“Terdapat pihak yang meniru produk kami hampir sepenuhnya dan menjualnya pada harga yang jauh lebih rendah. Saya ingin mengingatkan pengguna agar sentiasa berhati-hati dan membuat semakan terlebih dahulu sebelum membeli.
“Jangan mudah terpedaya dengan tawaran harga yang terlalu murah kerana kualiti serta keselamatan pengguna harus menjadi keutamaan,” tegasnya.
Sehubungan itu, Nilam memaklumkan pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana individu atau organisasi yang didapati meniru, mengedar atau menjual produk tiruan menggunakan nama serta identiti Nilam Empire.
Dengan reputasi yang semakin kukuh dalam industri kesihatan dan kecantikan, Nilam menegaskan fokusnya kini adalah untuk memperkukuhkan jenama Nilam Empire ke tahap lebih tinggi.
Malah pihaknya akan terus optimis dalam mempertahankan integriti, kualiti dan kepercayaan yang telah diberikan oleh para pengguna selama ini.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.