
Selepas sekian lama meninggalkan dunia pengacaraan, pelakon dan pelawak, Zizan Razak mengakui pernah berdepan masalah anxiety atau keresahan sehingga membuatkan dirinya takut untuk berhadapan dengan khalayak.
Menurut Zizan, keadaan itu menyebabkan dia memilih untuk menolak tawaran sebagai pengacara dan memberikan tumpuan sepenuhnya kepada bidang lakonan.
“Saya sudah lama tinggalkan dunia pengacaraan. Saya ambil inisiatif untuk fokus ke bidang filem pula. Kerana itu, saya banyak tolak tawaran mengacara.
“Ada satu ketika, saya berasa takut untuk naik ke pentas. Saya pun tak tahu sama ada ia adalah anxiety atau tidak. Mungkin juga kerana saya sudah banyak berlakon sehingga terbawa-bawa dalam kehidupan.
“Jadi, untuk pergi ke mana-mana acara atau tempat ramai orang, saya pilih untuk mengelak,” katanya kepada MH.
Pelakon filem Polis Evo itu berkata demikian ketika ditemui pada sidang media program Borneo Rising, baru-baru ini.
Bagaimanapun, selepas beberapa tahun berehat daripada dunia pengacaraan, Zizan mengakui dia mula merindui bidang tersebut selain mahu mencabar dirinya dengan pengalaman baharu.
“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, saya mula rasa rindu dengan bidang pengacaraan. Saya juga nak merasai pengalaman bergandingan dengan hos lain pula.
“Saya tak pernah bergandingan bersama Sherry Alhadad sebelum ini. Ia bakal memberikan satu warna yang baharu. Saya akui agak gemuruh juga untuk mengacarakan program ini.
“Harapan yang diletakkan sangat tinggi. Saya percaya program ini akan viral kerana haluannya agak berbeza dengan program lain,” ujarnya.
Dalam masa sama, Zizan menegaskan dia tidak mahu lagi membiarkan masalah keresahan itu terus menguasai hidupnya, malah bertekad untuk bangkit selepas bertahun-tahun berdepan situasi tersebut.
“Anxiety ini bukan penyakit yang biasa. Saya rasa semua orang pernah merasainya sama ada di skala kecil atau besar. Tahap anxiety saya agak teruk sehingga tak nak berjumpa dengan orang.
“Kalau pergi kedai makan, pengurus saya akan periksa dahulu keadaan tempat itu. Ke pusat membeli belah itu memang tidak. Banyak hal yang mengubah hidup saya.
“Bila sudah berlarutan bertahun-tahun, saya mula rasa fed up. Sampai bila nak jadi macam ini? Dulu saya boleh, kenapa sekarang tidak? Fed up itulah yang buat saya bangkit dan bersemangat.
“Anxiety inilah yang banyak buat kerjaya saya tersangkut,” kongsinya lagi.
Dalam pada itu, Zizan turut mengakui pernah mengambil ubat bagi membantu mengatasi masalah berkenaan.
Namun, dia tidak mahu terlalu bergantung kepada pengambilan ubat dan memilih untuk mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat.
“Saya pernah makan ubat sebelum ini. Anxiety saya agak pelik juga. Dahulu saya merokok, kini saya sudah berhenti. Begitu juga dengan gula. Kini, saya hanya mahu hidup sihat.
“Sebelum ini, setahun sekali saya akan makan ubat anxiety. Kemudian, setahun dua kali dan ia jadi makin kerap. Jadi, saya rasa ia tak betul.
“Saya tak mahu hidup bergantung. Saya jadi marah dengan diri sendiri. Tugas saya nak naik ke pentas untuk hiburkan orang tapi saya sendiri tak gembira.
“Kini saya kembali temui keyakinan,” akhirinya.
Terdahulu, Zizan bakal bergandingan bersama Sherry Alhadad sebagai hos program realiti terbaharu, Borneo Rising.
Program pencarian bakat nyanyian yang memberi tumpuan kepada peserta dari Sabah dan Sarawak itu dijadualkan mula bersiaran pada 6 September ini.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.