
Pelakon Zahirah Macwilson berkongsi perkembangan mengenai perubahan penampilannya selepas tampil berhijab yang sebelum ini menjadi khabar positif dalam kalangan peminat.
Menurut pelakon berusia 31 tahun itu, dia sebenarnya baru sekitar dua bulan membiasakan diri mengenakan hijab secara konsisten.
Malah Zahirah atau nama sebenarnya Nur Zahirah MacWilson Zainol MacWilson menjelaskan, keputusan untuk menutup aurat sudah lama tersemat dalam hati, namun dia memilih untuk tidak terburu-buru membuat sebarang pengumuman berkaitan perkara terbabit.
Baca Artikel Lain;
“Bagi mereka tertanya-tanya mengenai perubahan saya, sekarang saya berhijab dan masih mencuba. Saya belum mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai penampilan atau soal keimanan kerana perkara ini sangat peribadi.
“Setiap orang mempunyai perjalanan spiritual masing-masing dan mengambil masa untuk melaluinya. Bagi saya, perkara ini masih baharu, tetapi saya menikmatinya dan alhamdulillah, masih dalam proses mencuba,” katanya.
Mengulas detik awal mengenakan hijab, Zahirah berkata hasrat tersebut sebenarnya sudah lama tersimpan dan mula terbit sejak tahun lalu.
“Hasrat itu sudah lama ada, malah sejak tahun lalu. Cuma saya mula memakai tudung secara konsisten kira-kira dua bulan lalu.
“Pada awalnya pakai kerana suka-suka. Saya pergi membeli barang dapur atau membuat rawatan kuku pun saya pakai. Lama-kelamaan, rasa selesa itu melekat,” ujarnya lagi.
Bintang yang bakal muncul menerusi drama Sumpah Ayahku, juga menganggap perubahan tersebut sebagai satu proses yang memerlukan masa.
Dalam masa sama, dia bersyukur menerima sokongan serta doa baik yang tidak putus-putus daripada orang ramai.
“Saya masih mencuba dan belum sempurna. Ini sebuah perjalanan serta proses peralihan. Saya belajar banyak perkara sepanjang melaluinya dan paling menggembirakan, ramai mendoakan perkara baik untuk saya.
“Saya menerima banyak mesej secara peribadi daripada netizen. Sokongan itu sangat bermakna. Terima kasih kepada semua yang mendoakan,” jelasnya lagi.
Ketika ditanya mengenai faktor yang mendorong perubahan tersebut, ibu kepada dua cahaya mata itu memilih untuk tidak berkongsi secara terperinci kerana menganggap ia terlalu peribadi.
“Saya lebih selesa tidak berkongsi buat masa ini kerana perkara ini sangat peribadi. Insya-Allah, satu hari nanti saya mahu berkongsi keseluruhan cerita dan perjalanan ini.
“Sekarang saya masih dalam proses. Apabila sampai masa sesuai, saya akan kongsikan dan mudah-mudahan perjalanan ini dapat memberi inspirasi kepada orang lain,” katanya.
Sementara itu, Zahirah mengakui perubahan yang dilakukannya turut memberi kesan kepada kerjaya apabila terpaksa menolak beberapa tawaran lakonan selepas mula berhijab.
“Sebelum mula berhijab, saya menerima banyak tawaran. Sebagai manusia biasa, memang ada ketika saya berfikir sama ada mahu menerima pekerjaan itu dan mengetepikan dahulu niat ini.
“Namun selepas mula berhijab, saya memang terpaksa menolak beberapa tawaran. Bagi saya, rezeki datang daripada Allah. Saya percaya apa juga ditakdirkan untuk saya pasti akan sampai,” kongsinya.
Selain Zahirah, drama Sumpah Ayahku turut menampilkan barisan pelakon seperti Faizal Hussein, Aiman Hakim Ridza, Shahz Jazle dan Intan Ladyana.
Terdahulu, perkongsian Zahirah yang tampil berhijab ketika bercuti bersama keluarga di Bali, Indonesia, mencuri perhatian warganet, baru-baru ini.
Menerusi hantaran di Instagram, pelakon itu mengenakan busana serba coklat lengkap dengan hijab ketika bergambar bersama suaminya yang juga pelakon Aiman Hakim Ridza.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.