
Sering menjadi sasaran kecaman di media sosial sepanjang program Talk To My Manager Musim Ke-2 (TTMM2) berlangsung, pengacara Datuk AC Mizal menyifatkan perkara itu sebagai lumrah dalam dunia seni.
Menurut AC atau nama sebenarnya Mizal Zaini, setiap individu berhak untuk memberikan pandangan sama ada positif mahupun negatif, dan terpulang kepada seseorang untuk menerima atau sebaliknya.
“Di dunia ini, kita memang dilahirkan untuk menerima dan memberikan pendapat kepada orang ramai sama ada bagus atau tidak. Terpulang juga kepada kita untuk menerima atau tidak.
“Bagi saya, apa sahaja bentuk kecaman atau pujian, itu adalah hak peribadi. Saya tak pernah mempertikaikan dan saya hanya menjalankan tugas saya.
“Dengan cara yang lebih baik, saya bukan hanya menerima tetapi saya langsung tak membacanya,” katanya kepada MH.
Pelakon filem Zombi Kampung Pisang itu berkata demikian ketika ditemui selepas berakhirnya Grand Finale TTMM2, Ahad lalu.
Mengulas lanjut, AC menjelaskan segala komen dan kritikan yang diberikan ketika menjalankan tugas sebagai juri tetap TTMM2 bukan bertujuan menjatuhkan sesiapa.
Sebaliknya, ia adalah demi membantu peserta serta pengurus keluar daripada zon selesa dan mencari identiti tersendiri yang membezakan mereka daripada artis sedia ada di pasaran.
“Paling penting sekarang ini adalah bagaimana saya nak bantu anak-anak muda dan rakan-rakan artis ini. Jika anda lihat sendiri produk TTMM, kebolehan mereka semua berbeza kerana kita tekankan bab persembahan.
“Kalau kita pentingkan aspek nyanyian sahaja, nanti syarikat rakaman hanya akan keluarkan lagu balada sahaja kepada semua penyanyi.
“Industri kita akan mendatar seperti itu sahaja,” ujarnya lagi.
Dalam masa sama, AC turut memuji perkembangan dan kualiti yang dipamerkan para peserta sepanjang 10 minggu pertandingan berlangsung, dengan setiap daripada mereka memiliki kelebihan tersendiri.
“Lihat sahaja peserta TTMM2, persembatan terbaik Azeva adalah menerusi lagu Bad Romance dan Kim Khairii pula ketika bawakan lagu Korea.
“Cik B pula, walau dikecam tetap pamerkan persembahan hebat. Hussain berjaya keluar daripada kepompong balada manakala Anggrek pula mampu buat perkara yang orang dewasa pun tak mampu buat.
“Amarra sudah muncul dengan lagu Slay dan Fariedz pula dengan lagu berbahasa Inggeris. Mereka kini nampak profesional dan buat pentas itu seperti mereka punya sendiri,” katanya lagi.
Pada masa sama, AC mengakui dirinya sudah lali berdepan kecaman serta kritikan sepanjang bergelar anak seni.
“Untuk artis-artis lama ini, kita sudah tak tengok sangat hal-hal sebegitu. Kita hanya mendengar dan menerima sahaja.
“Itu pendapat orang. Apa lagi yang kita boleh buat? Jadi bagi saya bersyukur sahaja,” akhirinya.
Sepanjang 10 minggu TTMM2 bersiaran, nama AC sering menjadi perhatian apabila ada di antara komen serta kritikannya terhadap persembahan peserta mencetuskan perdebatan dalam kalangan netizen di media sosial.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini