
Pelakon dan pengacara, Raja Azura teruja apabila diberi peluang bergandingan dengan hos baharu, Keanu Azman bagi mengendalikan program realiti, Kilauan Emas Selebriti 2026 (KES2026).
Menurut Raja Azura atau mesra disapa Kak Engku, dia langsung tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama dengan Keanu.
Malah, keterujaan itu sudah bermula sebaik menerima panggilan daripada pihak produksi yang menjelaskan mengenai gandingan mereka.
“Pihak produksi telefon saya dalam keadaan macam takut-takut. Dia tanya, ‘kalau Kak Engku digandingkan dengan orang baru, okey tak?’
“Saya pun buat-buat ‘belagak’ tanya balik, dengan siapa pula dengan nada garang.
“Apabila mereka memberitahu Keanu akan digandingkan, saya terus ucap Alhamdulillah. Saya okay sahaja,” katanya kepada MH.
Pelakon filem 3 Janda Melawan Dunia itu berkata demikian ketika ditemui pada majlis pengenalan peserta Kilauan Emas Selebriti 2026 di Astro, Bukit Jalil, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Raja Azura tidak menafikan dia lebih gemar mengendalikan program bersama secara berpasangan kerana ia memberi lebih ruang untuk berinteraksi di atas pentas.
Disebabkan itu juga, dia mengambil inisiatif untuk mengenali Keanu dengan lebih dekat sebelum memulakan kerjasama secara langsung.
“Saya memang suka ada pasangan di atas pentas, senang untuk ‘bermain’ dan saya akan lebih energetik. Saya pun sudah lama mengacara secara solo.
“Saya buat ‘research’ sikit tentang dia. Bukan untuk menilai, tapi nak tahu dari sudut mana saya boleh bekerjasama dengan dia,” jelasnya lagi.
Pada masa sama, Raja Azura menyifatkan Keanu sebagai seorang yang proaktif serta mempunyai adab yang baik apabila tidak segan untuk mendapatkan tunjuk ajar daripadanya.
“Dia WhatsApp terlebih dulu, mungkin segan nak call. Selepas itu dia mengajak saya untuk berjumpa, siap nak belanja makan.
“Saya kata, kalau nak berguru, datang Shah Alam jumpa saya,” katanya.
Mengulas lanjut, pelakon berusia 53 tahun itu berkata, pertemuan singkat tersebut berjaya mengeratkan lagi keserasian mereka apabila Keanu banyak bertanyakan tip berkaitan dunia pengacaraan.
“Pelbagai tips ditanyakan kepada saya apabila kami bertemu. Saya ikhlas berkongsi ilmu.
“Bila dia sudah belanja makan, dia seolah-olah macam sudah ‘rasuah’ saya. Mahu atau tidak, saya kena terima jugalah. Dia memang pandai mengambil hati,” akhirinya.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.