
Penyanyi Nadeera Zaini berharap para peminat dapat terus bersabar menantikan album sulungnya yang kini sudah memasuki fasa akhir sebelum memulakan proses rakaman.
Menurut Nadeera, dia terpaksa mengambil sedikit masa untuk mengumpulkan material-material terbaik untuk dimuatkan dalam album sulung tersebut.
“Saya kini dalam persiapan untuk melancarkan album dan kita sudah pun memasuki fasa yang terakhir untuk mengumpul material-material lagu. Kita sedang tunggu masa untuk proses rakaman sahaja.
“Saya tahu ramai peminat yang sudah bising kerana mereka menunggu album saya. Saya mengeluarkan meterial itu agak lambat kerana saya amat menitik beratkan kualiti dalam lagu.
“Saya tak nak mengeluarkan lagu sekadar untuk cukup syarat sahaja. Bila nak bagi sesuatu kepada peminat, saya nak bagi dengan ikhlas,” katanya kepada MH.
Nadeera berkata sedemikian ketika ditemui pada majlis pelancaran muzik video lagu Cinta Di Akhir Garisan 2.0 yang berlangsung di Mariott Hotel, Petaling Jaya pada Khamis.
Dalam masa sama, penyanyi lagu Bukan Lagi Kita itu mengakui dirinya agak terkesan dengan tekanan daripada peminat dan pemerhati industri yang mengharapkan dirinya segera menghasilkan karya-karya baharu.
Katanya, bukan mudah untuk membina nama dalam industri, apatah lagi memastikan populariti yang dikecapi terus kekal relevan.
“Saya akui memang agak stress bila memikirkan hal seperti ini. Nak cipta nama dan pastikan nama itu kekal relavan pun memang susah.
“Nak mencari komposer yang sesuai juga bukan mudah. Ramai yang kata saya terlalu bergantung kepada Hael Husaini. Dalam hal ini, saya dan Hael sahaia tahu bagaimana perjalannya.
“Saya sebenarnya terbuka sahaja untuk buat lagu dengan komposer-komposer lain,” ujarnya lagi.
Dalam masa sama, Nadeera mengakui teguran tersebut sememangnya berasas, namun menjelaskan dia mengambil masa untuk menghasilkan material baharu kerana mahu memastikan setiap karya yang diketengahkan benar-benar berkualiti.
“Apa yang peminat katakan itu, saya memang terpaksa akui. Memang saya lambat untuk mengeluarkan material-material baharu. Saya tak nak keluarkan material yang sia-sia buat peminat.
“Alhamdulillah lagu Cuba Jadi Aku mendapat sambutan yang menggalakkan daripada peminat dan pendengar. Saya akan keluarkan album saya tidak lama lagi. Nantikanlah,” akhirinya.
Ditanya bagaimana dia berhadapan dengan komen-komen agresif netizen, Nadeera mengakui ada kalanya hatinya juga berasa rapuh.
“Orang kata, antara golongan yang paling tersakiti adalah barisan anak seni. Merekalah yang kena hadap kecaman dan perlu kuat mental serta fizikal. Kita memang cakap kita kuat tapi kita juga manusia biasa.
“Kita juga rapuh dan ada perasaan. Ada kalanya kita menangis dan terpaksa buat-buat tak dengar dan tak ambil tahu kata orang.
“Kita nak buat kerja yang kita suka sahaja. Saya menyanyi bukan sekadar untuk diri sendiri tapi juga untuk buat orang lain gembira,” akhirinya.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.