Selepas sekian lama mencuba nasib, impian pempengaruh media sosial, Aizat Saha untuk bergelar pelakon akhirnya tercapai pada usia 29 tahun.

Menurut Aizat, meskipun namanya dikenali disebabkan konten ‘Abang POV’ yang viral di aplikasi Tik Tok, namun dia juga pernah melalui proses yang sama seperti pelakon-pelakon lain.

“Saya memang berminat untuk menjadi pelakon. Sejak 2017, saya pernah bekerja bersama sebuah syarikat produksi. Dalam tempoh tersebut, saya ada pergi ke sesi casting tapi belum ada rezeki.

“Mungkin rezeki saya hadir selepas aktif membuat konten di media sosial. Pada umur 29 tahun, baru Allah berikan rezeki ini.

“Mungkin ada yang kata saya guna jalan pintas sebab dikenali di Tik Tok tapi jika diikutkan, saya juga lalui proses sama seperti pelakon-pelakon lain,” katanya kepada MH.

Dalam pada itu, Aizat turut mengakui suasana ketika penggambaran drama sangat berbeza dengan pembikinan konten-konten di media sosial.

“Jika konten di Tik Tok, saya sendiri yang mengarah dan susun jalan cerita. Suasana di sekeliling juga tak melibatkan ramai orang.

“Bila di set, kita ada pengarah, pelakon-pelakon yang ramai. Suasana dan tekanannya juga berbeza.

“Saya belum biasa dengan dunia lakonan dan bila diperhatikan ramai orang, tekanan itu sangat tinggi. Alhamdulillah, saya dapat lawan perasaan itu dan buat yang terbaik,” ujarnya lagi.

Ditanya adakah dia akan terus aktif membikin konten di media sosial selepas bergelar pelakon, Aizat memaklumkan dirinya tidak akan sesekali melupakan platform yang menaikkan nama seperti sekarang.

“Konten ‘Abang POV’ akan tetap diteruskan. Saya datang daripada platform Tik Tok dan konten POV itu yang menaikkan nama saya.

“Jadi, tak adil untuk saya tinggalkan terus hanya kerana sudah bergelar pelakon,” kongsinya.

Katanya lagi, dia juga mahu melalui setiap proses sebagai anak seni dan tidak mahu terlalu terburu-buru untuk memenang peranan utama.

“Saya memang memasang impian untuk memegang watak utama dan berlakon di dalam filem. Namun, pada waktu sekarang, ia masih terlalu awal buat saya.

“Saya nak lalui dahulu segala proses bergelar pelakon. Saya tak mahu terburu-buru. Biarlah saya bermula dengan peranan pelakon pembantu.

“Saya juga belum tahu sejauh mana kemampuan saya dalam bidang lakonan. Kalau jadi pelakon utama tapi tidak mampu berikan yang terbaik, ia akan menyusahkan ramai orang,” akhirinya.

Terbaharu, Aizat kini merupakan antara pelakon yang membintangi drama terbaharu yang berjudul Kelas Tahanan Cikgu Hiragi.

Selain Aizat, drama ini turut dibintangi barisan pelakon seperti Nadhir Nasar, Arabella Ellen, Arena Wan dan Evertts Gomes.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan di sini.

Kredit Foto: Instagram Aizat Saha

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI