
Pelakon Azar Azmi meluahkan rasa terkejut dan terharu apabila menerima sokongan luar biasa daripada rakyat Malaysia ketika sama-sama melakukan sesi jualan secara langsung dalam talian bersama usahawan terkenal, Aliff Syukri dan Shahida, semalam.
Menurut Azar, peluang yang diberikan pasangan usahawan tersebut membuka ruang buat dirinya untuk mencari rezeki, selain membantu meringankan beban hutang yang ditanggung.
“Saya sangat bersyukur dengan pemberian ini. Jika tiada platform daripada Datuk dan Datin, perkara ini tidak akan terjadi.
“Saya tak sangka dengan sambutan yang diterima. Saya ingatkan orang ramai sudah bencikan saya. Saya tak sangka ada orang yang dapat melihat sesuatu pada saya ini.
“Saya ingin berterima kasih kepada semua kerana berkongsi rezeki dengan saya sebanyak ini,” katanya.
Hasil jualan tersebut menyaksikan Aliff dan Shahida menyerahkan wang tunai sebanyak RM40,000 kepada Azar sebagai tanda sokongan.
Dalam pada itu, Azar memaklumkan wang yang diterima akan digunakan untuk melangsaikan hutang yang kini mencecah ratusan ribu ringgit.
“Kata orang, dalam hidup ini, kita kena langsaikan dahulu hutang pemiutang sebelum nak belanjakan kepada orang lain.
“Hutang yang saya nak selesaikan ini mencecah ratusan ribu. Banyak lagi yang kena langsaikan.
“Jika dikatakan umur saya tidak panjang, saya tak nak tinggalkan bebanan hutang itu kepada anak-anak saya yang tak tahu apa-apa,” kongsinya lagi.
Azar menambah, sebagai seorang ibu, dia mahu memastikan anak-anak tidak terbeban dengan masalah kewangan pada masa hadapan.
“Sebagai ibu bapa, bila kita sudah tiada nanti, kita sepatutnya menyediakan kesenangan buat anak-anak. Setidaknya ada tempat tinggal dan sedikit wang simpanan.
“Sebelum pejam mata, saya kena langsaikan hutang saya. Saya perlu kerja lebih lagi untuk membayar hutang-hutang itu.
“Ketika ini, saya hanya mahu hidup dalam keadaan tenang, aman, langsaikan hutang dan fokus pada anak-anak,” katanya lagi.
Sementara itu, Aliff sentiasa terbuka untuk menerima Azar bekerja di syarikatnya sebagai kerani pada bila-bila masa.
Terdahulu, dalam satu temu bual, Azar meluahkan kerinduan terhadap kehidupannya yang dahulu dan bertekad untuk bangkit semula.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini