‘Saya hargai teguran dan kritikan yang diberi’ – Syafiq Kyle

Meski kini ramai yang mempersoalkan tentang kredibiliti pelakon baru yang dikatakan lebih bergantung kepada populariti untuk menempatkan diri dalam industri, pelakon Syafiq Kyle punya prinsipnya yang tersendiri.

Berbekalkan pengalaman lebih enam tahun dalam dunia lakonan, pelakon yang mula dikenali menerusi drama Tanah Kubur ini semakin yakin dengan hala tujunya dalam bidang seni ini.

Malah menurut Syafiq, dari hari ke hari ini dia cuba untuk menjadi lebih bijak dalam memilih tawaran yang boleh membuktikan bakat dan kemampuannya dalam lakonan.

“Bukan maksud saya untuk menafikan kepentingan populariti kepada seseorang pelakon dalam meneruskan kelangsungan kerjayanya, tetapi apa yang lebih penting buat saya adalah untuk memberikan kerja yang berkualiti dalam setiap lakonan kita.

“Dulu masa mula-mula ceburi bidang seni, saya ada juga harapkan kepada populariti, tetapi lama-kelamaan bila dah keluar masuk set penggambaran, saya mula sedar ada benda lain yang perlu diberi perhatian terlebih dahulu iaitu kualiti kerja.

“Jadi selama enam tahun ini saya cuba memperbaiki tahap lakonan saya di mana daripada mulanya hanya dapat watak kecil dan tiada siapa yang kenal hinggalah kepada peluang yang saya peroleh hari ini menerusi watak hero dan sebagainya,” jelasnya.

Tidak pernah melenting atau terasa hati dengan segala kritikan yang dilemparkan kepada pelakon baru sepertinya, Syafiq mengakui lebih suka melihat perkara itu dengan fikiran yang positif untuk terus belajar menjadi yang terbaik.

IKLAN

“Saya hargai teguran dan kritikan yang diberi kerana menerusi tindakan seperti itulah seseorang boleh memperbaiki dirinya.

“Teguran itu juga berlaku kerana mereka yang terlibat itu nampak benda yang tidak betul dan memberitahu kita yang mungkin tidak perasaan atau terlepas pandangan tentang sesuatu perkara itu.

“Cuma mungkin kita akan jadi lebih seronok jika teguran itu dilakukan dengan point yang betul dan mencadangkan cara untuk kekurangan itu diperbetulkan demi kebaikan semua pihak termasuk industri,” ujarnya mendapat pendedahan awal bersama pelakon-pelakon otai pada awal kemunculannya dulu.

Gunakan platform media sosial

Menyokong kata-katanya itu, Syafiq turut berkongsi tentang aktiviti terbarunya yang kini sedang mengikuti kelas lakonan bersama pelakon Ellie Suriaty sebagai persiapan untuk filem sulungnya tidak lama lagi.

“Saya rasa cukup seronok bila dapat kesempatan untuk masuk kelas dan belajar perbetulkan lakonan untuk menjadi lebih bagus daripada apa yang pernah kita lakukan sebelum ini.

“Ada perkara yang mungkin kita boleh belajar menerusi pengalaman, tetapi ada sesetengah ilmu yang kita hanya peroleh menerusi pembelajaran seperti ini.

“Jadi walaupun dah habis dengan kelas lakonan yang disediakan pihak produksi filem ini, saya berhasrat untuk menyambung kelas lakonan lain pula selepas ini,” katanya.

Biarpun begitu, hero drama Mencintaimu Mr Photrographer mengakui tidak menolak kepentingan populariti dalam kerjayanya.

IKLAN

Malah Syafiq juga mengakui peranan media sosial dalam perjalanan seni kebanyakan artis masa kini yang dilihat sebagai platform untuk mereka mempromosikan diri.

“Ia penting untuk orang kenal kita dan seterusnya memberikan ruang untuk mencari lebih banyak peluang lain untuk menaikkan kerjaya.

“Jadi mahu tidak mahu saya perlu, saya juga perlu mengikut trend semasa yang menjadikan media sosial sebagai platform untuk berkongsi tentang perkembangan terbaru atau aktiviti yang sedang saya lakukan dengan peminat.

“Sebenarnya saya kadang-kadang tak adalah nak kisah sangat berapa ramai pengikut di laman sosial, namun apabila ia kini menjadi keperluan beberapa pihak untuk melihat kepada perkara itu, saya cuba penuhi,” akuinya yang setakat artikel ini ditulis mempunyai 752 ribu pengikut di laman Instagram.

Melihat kepentingan itu, kata Syafiq dia mula memberikan sedikit perhatian kepada laman sosial dan menjadikan ia sebagai salah satu pelan dalam perancangan kerjaya seninya selepas ini.

“Kalau ikutkan saya tidak tahu sangat nak uruskan media sosial, jadi saya ada dibantu oleh mereka yang arif dalam bidang ini untuk memberikan panduan kepada saya bagaimana nak jadikan media sosial sebagai sesuatu yang berperanan dalam kerjaya seni saya.

“Alhamdulillah, menerusi panduan itu saya kembali mengumpul pengikut di media sosial selepas kehilangan lebih 500 ribu dari akaun instagram terdahulu yang kena godam,” ujarnya berterus-terang.

Syafiq yang ditemui di lokasi penggambaran drama terbaru lakonannya, Dekatkan Jarak Kita terbitan JS Pictures yang bakal bersiaran di TV3 tidak lama lagi ini mengakui kini agak sibuk dengan jadual kerjanya yang begitu padat.

“Alhamdulillah saya bersyukur dengan rezeki yang ada dan berterima kasih atas penerimaan penonton atau peminat terhadap kerja-kerja saya selama ini sehingga membolehkan saya berada di tempat saya berdiri sekarang.

“Jadi selepas selesai penggambaran drama bersama JS Pictures yang menggandingkan saya dan Ayda Jebat ini, insya-ALLAH saya akan mengadakan beberapa sesi Meet & Greet bersama peminat di beberapa lokasi terpilih di Kuantan, Sabah, Sarawak dan Singapura sehingga November ini,” katanya yang bakal mengeluarkan produk kecantikan di bawah labelnya sendiri tidak lama lagi.